Klinik ‘serik’ kena tutup dua minggu selepas terima pesakit Covid-19 -

Klinik ‘serik’ kena tutup dua minggu selepas terima pesakit Covid-19

BANYAK klinik di Kelantan enggan menerima pesakit dari luar negeri itu kerana tidak mengetahui status kesihatan pesakit berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Sekurang-kurangnya tujuh klinik swasta di bandar ini diarah menutup operasi masing-masing selama dua minggu, gara-gara pernah menerima individu yang disahkan positif Covid-19 sebagai pesakit mereka, baru-baru ini.

Individu terbabit merupakan golongan perantau yang pulang bercuti di kampung dan mereka dikatakan menjadi pencetus kepada Kluster Mengketil, di sini sekali gus membawa kepada ledakan semula pandemik Co­vid-19 di Kelantan.

Insiden tersebut juga menjadi alasan utama dua klinik swasta di bandar ini enggan menerima dua kanak-kanak beralamat di Melaka dalam MyKid masing-masing sebagai pesakit mereka sebagaimana dilaporkan akhbar ini.

Terdapat kira-kira 13 klinik swasta di sekitar pusat bandar ini dan tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati hampir semua mengambil pendekatan sama, iaitu tidak lagi menerima individu dari luar terutama ne­geri zon merah.

Seorang doktor di sebuah klinik yang enggan dikenali berkata, penutupan klinik selama dua minggu jika pesakit Covid-19 pernah mendapatkan rawatan di situ merugikan klinik yang masih perlu menanggung kos termasuk gaji petugas.

Sehubungan itu, klinik miliknya juga mengamalkan polisi sama buat masa ini iaitu tidak menerima pesakit yang datang dari luar Kelantan.

“Sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan penularan pandemik, pihak klinik berhak menolak mana-mana pesakit yang mahu mendapatkannya rawatan di premis kami.

“Selain itu, kami tidak mempunyai kelengkapan khusus untuk membuat saringan Covid-19 termasuk peralatan perlindu­ngan diri (PPE) dan kelengkapan lain,” katanya.

Sementara itu, seorang petugas kaunter di sebuah lagi klinik di pusat bandar ini berkata, dia juga menerima arahan sama daripada ‘bosnya’ dan kini menapis setiap individu yang da­tang ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

“Klinik swasta sepatutnya menjadi pilihan kedua orang ramai kerana masih banyak klinik kerajaan dibuka seperti biasa dan mereka mempunyai peralatan lengkap bagi mengendalikan kes Covid-19.

“Kami petugas klinik swasta juga tidak ada pengetahuan secukupnya dalam mengendalikan kes Covid-19, selain tidak mempunyai ruangan khas untuk mengasingkan pesakit beri­siko,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN