Jambatan gantung Kampung Gusi, Ranau akan dibina semula -

Jambatan gantung Kampung Gusi, Ranau akan dibina semula

Jambatan gantung merentasi Sungai Sugut di Kampung Gusi, Ranau, Sabah yang terputus sebelah menyebabkan ia tidak lagi boleh digunakan oleh penduduk kampung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANAU: Jambatan gantung bagi menyeberang Sungai Sugut di Kampung Gusi, Ranau yang putus hingga menyebabkan  lapan pelajar cedera baru-baru ini akan dibina semula bagi memudahkan perhubungan penduduk kampung itu dengan kawasan luar.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, jambatan itu merupakan satu-satunya jalan perhubungan yang menghubungkan kampung tersebut dengan kawasan seberang.

Dr. Jaochim Gunsalam

“Jambatan gantung sepanjang 150 meter dan mempunyai ketinggian 18 Kaki perlu dibina semula.

“Ini merupakan satu-satunya jambatan utama yang menghubungkan penduduk kampung dengan kawasan seberang.

“Ketiadaan jambatan ini menyebabkan aktiviti sosio -ekonomi penduduk di sini dalam bidang pertanian terjejas kerana mereka sukar membawa keluar hasil pertanian mereka,” katanya selepas membuat kunjungan ke Kampung Gusi, Ranau bagi meninjau keadaan jambatan yang runtuh kelmarin.

Jambatan itu putus baru-baru ini menyebabkan lapan pelajar cedera termasuk seorang yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, manakala mangsa lain sudah pulih.

Kejadian berlaku ketika pelajar terbabit keluar ke jambatan itu bagi mendapatkan liputan internet ekoran capaian internet yang lemah di kampung itu.

Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, jambatan gantung itu telah dibina 10 tahun lalu dan kini sudah agak usang.

Malah katanya, ia pernah dibaiki sebelum ini namun tidak mampu bertahan dan kini ia memerlukan pembinaan semula secara menyeluruh.

Pada masa ini katanya, pengangkutan utama penduduk di sini ialah menggunakan jalan sungai dengan menggunakan bot atau sampan kecil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya