Covid-19: NGO, individu zon merah elak ke Terengganu - Utusan Malaysia

Covid-19: NGO, individu zon merah elak ke Terengganu

ROSLEE Chik (dua kiri) berbual dengan salah seorang mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di Kemaman hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu dari zon merah tidak digalakkan menghantar bantuan banjir ke Terengganu bagi mengekang penularan pandemik Covid-19. 

Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, mana-mana NGO dari luar negeri yang berhasrat turun padang menghantar bantuan perlu berdaftar dengan Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat atau balai polis berdekatan bagi mengenal pasti zon mereka. 

“Kekuatan gabungan tenaga membabitkan seramai 6,087 petugas daripada 16 agensi masih mencukupi untuk operasi menyelamat dan bantuan terhadap mangsa banjir di negeri ini. 

“Jika masih ada NGO yang ingin datang membantu mereka perlu mendaftar bagi memudahkan kita mengenal pasti  zon mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di sini hari ini. 

Yang hadir sama Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman dan Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan. 

Roslee berkata, langkah itu penting memandangkan masih terdapat negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Katanya, orang ramai termasuk anak-anak yang merantau tidak perlu bimbang keselamatan keluarga kerana pihak berkuasa bekerjasama membantu semua mangsa banjir yang ada. 

Dalam pada itu, Roslee turut menasihati mangsa banjir supaya membawa barangan berharga seperti wang tunai, barangan kemas dan dokumen penting ke pusat pemindahan sementara (PPS). 

“Jangan tinggalkan barang berharga di rumah kerana mungkin ada yang cuba mengambil kesempatan, bagaimanapun, polis memberi jaminan akan mengadakan rondaan lebih kerap di kawasan rumah yang ditinggalkan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN