SUNGAI PETANI: Seorang pelajar berhasrat bertemu dengan seorang bekas jururawat yang menculiknya di wad bersalin, Hospital Sungai Petani di sini, kira-kira 15 tahun lalu.
Mohammad Nursyabil Syakirin Mohammad Nordin, 15, yang kini menetap di Sungai Lalang di sini berkata, dia berhasrat berjumpa dengan ‘ibu’ sementaranya itu bagi mengetahui punca sebenar dia diculik pada 19 Jun 2005.
Dia yang kini belajar di tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Layar berkata, hasrat itu timbul selepas melihat album gambar keluarga dan keratan akhbar yang menyiarkan berita mengenai kejadian culik berkenaan, iaitu selepas enam jam dia dilahirkan.
“Selepas meningkat dewasa dan mendapat penjelasan daripada ayah dan ibu berkaitan kejadian itu, keinginan saya berjumpa dengan bekas jururawat itu semakin menebal.
“Saya juga ingin tahu kenapa jururawat itu memilih saya untuk dibawa lari bukan bayi-bayi lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.
Kejadian culik itu berlaku pada pukul 2.30 petang selepas enam jam Mohammad Nursyabil Syakirin dilahirkan ibunya, Norhayati Abu Bakar dan ketika itu masih dalam pemerhatian di wad bersalin di Hospital Sungai Petani.
Kehilangannya disedari bapanya, Mohammad Nordin Idris selepas pertukaran syif jururawat yang bertugas di wad bersalin berkenaan sebelum membuat laporan polis.
Mohammad Nursyabil Syakirin hanya ditemukan semula selepas lima hari berada dalam jagaan bekas jururawat terbabit selepas polis melakukan serbuan di sebuah rumah Kampung Teluk Wang Kecil, di sini pada pukul 3.45 pagi, 23 Jun 2005.
Mohammad Nursyabil Syakirin berkata, dia tidak berniat memarahi jururawat itu, sebaliknya bercadang mengucapkan terima kasih kerana menjaganya dengan baik selama lima hari diculik.
Sementara itu, Norhayati, 45, pula berkata, kejadian culik yang membabitkan anaknya itu memang sukar dilupakan sehingga sekarang.
“Terlalu perit kehilangan anak yang baru enam jam dilahirkan dan ketika itu saya hampir
gila kerana sering menangis teringatkan nasibnya.
“Namun, berkat sabar dan doa, anak kami ini ditemukan semula selepas lima hari diculik,” katanya.
Dalam pada itu. katanya, dia tidak mengetahui tempat tinggal bekas jururawat itu sekarang. – UTUSAN ONLINE










