Akta 446: Kesedaran majikan masih rendah - Utusan Malaysia

Akta 446: Kesedaran majikan masih rendah

MOHD. Asri Abdul Wahab mengetuai serbuan terhadap sebuah rumah dan dua buat lot kedai yang menempatkan asrama penginapan pekerja warga asing dalam Operasi Pematuhan Akta 446 (Penginapan Pekerja) Zon Selatan di sekitar Senawang, Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hanya 3,000 daripada keseluruhan 56,000 majikan di seluruh Malaysia memohon perakuan penginapan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) sejak ia dikuatkuasakan 1 September lalu.

Pengarah Standard Perburuhan, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Mohd. Asri Abdul Wahab berkata, tahap pematuhan majikan terhadap Akta 446 masih rendah berdasarkan pemantauan yang dijalankan dalam operasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Kalau majikan itu melakukan kesalahan tidak ada perakuan daripada JTKSM, maksimum denda adalah RM50,000 bagi seorang pekerja. Sebab itu bagi kami, pendakwaan satu perkara tetapi paling penting kesedaran daripada pihak majikan.

“Hasil operasi mendapati elemen utama pelanggaran Akta 446 oleh majikan adalah keadaan persekitaran ruang tidur (tidak mengikut spefikasi yang ditetapkan), pengudaraan, susun atur perabot dan kemudahan asas pekerja tidak mengikut piawaian,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Pematuhan Akta 446 (penginapan pekerja) Zon Selatan di sekitar kawasan Senawang dekat sini.

Menurut Mohd. Asri, dalam operasi yang dijalankan bermula 11 pagi itu, seramai 15 pegawai JTKSM telah membuat serbuan di sebuah rumah dan dua buah lot kedai yang menempatkan asrama penginapan pekerja kilang warga asing.

“Hasil serbuan mendapati majikan tidak mematuhi pengurusan tempat penginapan pekerja di bawah Akta 446 dengan mengabaikan tahap kebersihan dengan baju berselerak selain ruang bilik tidur dijadikan ‘dapur’ ada peti sejuk, periuk nasi serta bahan memasak seperti bawang dan beras.

“Dalam syarat permohonan perakuan penginapan, majikan perlu menyediakan tilam sekurang-kurangnya empat inci namun ada pekerja yang hanya tidur beralaskan papan ‘plywood’,” katanya.

Jelas Mohd. Asri, selain itu majikan sepatutnya menyediakan ruang khas untuk pekerja memasak dan tempat rehat bagi kegunaan bersama.

“Kami dapati ada premis lot kedai yang diubah suai kepada asrama penginapan pekerja dan perkara ini perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami akan lihat daripada segi kapasiti di mana ukuran bilik yang ditetapkan bagi seorang pekerja adalah 3.6 meter persegi (Akta 446) dan sebuah bilik hanya boleh menempatkan dua hingga tiga orang sahaja,” katanya.

Jelas beliau, sehingga kini JTKSM telah membuka 21 kertas siasatan dan 63 pertuduhan dibuat terhadap majikan sejak November lalu melibatkan elemen pelanggaran Akta 446.

“Pihak kami telah menjalankan operasi berterusan sejak bulan lalu bagi memberi kesedaran kepada majikan selain langkah pencegahan pandemik Covid-19 di tempat penginapan pekerja.

“Sehubungan itu, kami menyeru majikan membuat permohonan perakuan penginapan di bawah Akta 446 ini secara dalam talian atau ke pejabat JTKSM, kami akan memberi nasihat terbaik untuk menguruskan penginapan pekerja,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.