Ahmad Hamzah nafi lobi -

Ahmad Hamzah nafi lobi

AHMAD Hamzah (kanan) menunjukkan laporan polis dan keratan akhbar yang dikaitkan dengan beliau di Serkam, Melaka, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 yang juga Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah menafikan beliau melobi untuk kekal bertanding bagi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya Ahmad berkata, beliau sebenarnya telah menyuarakan hasrat kepada Presiden UMNO dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka untuk bersara daripada politik pada PRU-15 yang mungkin diadakan bila-bila masa.

Beliau turut menafikan dakwaan ada berjumpa Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman untuk meminta sokongan bagi mempertahankan jawatan sebagai Ahli Parlimen sekali lagi selepas enam penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Saya ingin menegaskan dengan sekeras-keras bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan saya tidak ada berjumpa dengan Datuk Hasan.

“Saya sedar pada ketika ini landskap politik begitu dinamik dan berubah-ubah mengikut peredaran masa, saya percaya bahawa masa telah tiba untuk saya beri peluang kepada muka baharu supaya dapat terus menyumbang idea baharu yang lebih segar.

“Malah, memandangkan saya telah berusia dan mungkin kesihatan pun tak mengizinkan maka saya sudah ambil keputusan dan bincang dengan keluarga dan kawan-kawan untuk bersara pada PRU-15,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebagai respons kepada analisis berita dalam Utusan Malaysia bertajuk Parlimen Jasin bertukar calon? yang disiarkan Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad mendakwa laporan itu telah menjatuhkan reputasi beliau dan keluarga serta mengeruhkan suasana politik tanah air.

“Saya perlu sedar dalam keadaan politik kita yang dinamik kini seharusnya tidak boleh mengeruhkan suasana, bahkan mesti bekerja ke arah memperkukuhkan parti menghadapi PRU-15 yang bakal diadakan bila-bila masa.

“Tetapi saya terpanggil membuat sidang akhbar ini di mana nama saya telah dipetik (dalam artikel tersebut). Saya juga harap Datuk Hasan yang dikaitkan dalam isu ini tampil membuat penjelasan,” katanya.

Beliau berkata, satu laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Merlimau semalam dan memberi tempoh supaya permohonan maaf dibuat secara terbuka. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×