JOHOR BAHRU: Sembilan daripada 12 kawasan berisiko tinggi kegiatan penyalahgunaan dadah yang diletakkan di bawah model projek rintis berjaya dipulihkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, terdapat tiga kawasan yang masih berada dalam zon kuning ialah adalah Langkawi, Kedah; Petaling Jaya Selatan, Selangor dan Pengkalan Chepa, Kelantan.
Beliau berkata, projek rintis ini melibatkan 15 agensi dibuat bagi mencari model yang berkesan untuk diguna pakai terhadap 155 kawasan berisiko tinggi dalam usaha membasmi penyalahgunaan dadah.
“Terdapat 12 kawasan berisiko tinggi penyalahgunaan dadah diletakkan sebagai zon merah, di bawah model projek rintis AADK. Sembilan daripada sudah berjaya ‘dihijaukan’ dan kini hanya tinggal tiga kawasan sahaja lagi yang masih berada dalam zon kuning.
“Model ini akan diguna pakai terhadap 155 kawasan berisiko tinggi secara berperingjat dalam usaha membasmi penyalahgunaan dadah bagi mencapai hasrat Dadah Terkawal menjelang 2025,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu, kawasan Parit Sulong, Batu Pahat serta Taman Perling, Skudai dan Tampoi, di sini diisytihar sebagai zon kuning sebelum ini dan sudah berada dalam zon hijau ekoran aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan berjaya dikawal.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pihaknya berharap lebih banyak jabatan dan agensi kerajaan tampil mendapatkan khidmat AADK dalam menyampaikan modul bebas dadah di tempat kerja bagi menangani penyalahgunaan dadah dalam kalangan penjawat awam.
Jelasnya, jumlah penjawat awam seluruh negara yang terlibat dengan pengambilan dadah masih rendah dan terkawal, hanya 468 daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam terlibat menagih dadah.
“Penjawat awam yang mengambil dadah itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an. Dadah Amphetamine Type Stimulant (ATS) iaitu sejenis dadah sintetik paling banyak diambil penjawat awam.
“Antara sebab utama penjawat awam mengambil dadah bukan kerana tekanan kerja tetapi terikut-ikut dengan kawan termasuk ada yang ingin mencuba,” katanya. – UTUSAN ONLINE










