Wujudkan laman sesawang khas, kurangkan birokrasi - Utusan Malaysia

Wujudkan laman sesawang khas, kurangkan birokrasi

SOHAIMI SHAHADAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu laman sesawang khas untuk rujukan umum bagi melancarkan hubungan dua hala antara pemohon pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera dengan agensi pelaksana perlu diwujudkan kerajaan.

Ini penting dalam memastikan dana RM510 juta melalui Belanjawan 2021 yang diperuntukkan kepada Tekun Nasional (Tekun) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dapat diagihkan dengan saksama tanpa kerenah birokrasi yang melampau.

Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, usaha murni kerajaan untuk mengangkat golongan bumiputera itu tidak boleh dimonopoli oleh golongan tertentu, sebaliknya perlu sampai kepada kumpulan sasar secara menyeluruh.

Katanya, pihaknya menyokong Belanjawan 2021 dan mahu usaha memperkasa perniagaan golongan bumiputera dibuat secara holistik di seluruh negara.

“Kita mahu ada satu platform khas untuk pemohon membuat rujukan secara efisyen dan melancarkan komunikasi dengan pemohon.

“Sebagai agensi pelaksana tidak perlu merumitkan urusan permohonan di mana kita tahu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini ramai pemohon memerlukan suntikan modal dalam kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan RM11.1 bilion disediakan untuk menyokong pembangunan bumiputera bagi mengurangkan ketidaksamarataan antara kaum.

Daripada jumlah itu, RM4.6 bilion diperuntukkan untuk melonjak dan memperkasa usahawan bumiputera.

Sohaimi menambah, peruntukan RM100 juta kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilihat dapat membantu para aktivis menggerakkan aktiviti sosial seperti membantu golongan miskin bandar dan pemuliharaan alam sekitar.

“DPIA menyambut baik peruntukan kepada NGO bagi menggerakkan aktiviti badan berkenaan.

“Kita tidak mahu hanya kelompok tertentu saja yang menerima manfaatnya, apatah lagi dalam situasi sukar ketika pandemik Covid-19 ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN