Wanita berat 200kg perlu RM60,000 tampung kos pembedahan - Utusan Malaysia

Wanita berat 200kg perlu RM60,000 tampung kos pembedahan

NORAZLINA Ramli memerlukan bantuan RM60,000 bagi menanggung kos pembedahan mengatasi masalah berat badan yang dialaminya sejak berusia 12 tahun. - UTUSAN/ FARAHWAHIDA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Seorang wanita yang mengalami masalah berat badan 200 kilogram memerlukan bantuan kira-kira RM60,000 untuk menanggung kos pembedahan rawatan endoskopi.

Norazlina Ramli, 33, yang tinggal di Taman Bunga Raya, Gemereh, di sini berkata, dia kini menanggung derita kerana tidak mampu bergerak dan menguruskan diri sendiri ekoran masalah berat badan itu.

“Saya tidak meminta takdir hidup saya jadi begini. Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa tetapi nak buat macam mana, Allah SWT nak menguji saya.

“Saya dilahirkan normal seperti kanak-kanak lain tetapi ketika berumur 12 tahun, fizikal saya mengalami perubahan kerana mengalami hormon tidak normal. Sejak itu badan saya semakin hari semakin membesar biarpun saya makan sama seperti orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Kesihatan wanita itu semakin menurun sehingga tidak dapat bergerak dan hanya mampu terbaring di katil sejak kira-kira enam bulan lalu dan diuruskan sepupunya, Nur Amirah Asyura Abd Latip, 19.

Mereka tinggal bersama nenek mereka, Aminah Kalop, 86, yang sudah uzur dan segalanya dijaga serta diuruskan Nur Amirah yang bekerja sebagai pembantu pengurusan secara kontrak di sebuah syarikat penghantar barangan dengan pendapatan RM30 sehari.

Dalam pada itu, Norazlina memberitahu, dia dibawa ke Hospital Segamat pada 27 Oktober lalu kerana mengalami masalah pendarahan dalaman yang serius dan pembuangan air kecil dengan bantuan sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Kementerian Kesihatan.

“Sebelum ini doktor pernah menasihatkan saya menjalani pembedahan tetapi tidak mampu. September lalu, saya ternampak di Instagram seorang doktor pakar yang bernama Dr. Mustafa Mohamed Taher Al-Khafaji sebelum menghubunginya,” ujarnya.

Katanya, Dr. Mustafa sedia membantunya dan memaklumkan dia perlu menjalani pembedahan dengan kos RM60,000.

Sementara itu, Dr. Mustafa yang merupakan Pakar Gastrointestial dan Bariatic Surgeon di Pusat Perubatan Cengild G.I. Kuala Lumpur berkata, dia menerima pesanan ringkas Norazlina dan berasa bertanggungjawab membantunya.

“Dalam kes Norazlina ini, dia memerlukan pembedahan segera berjumlah RM60,000 bagi mengecilkan kantung perut atau bahasa saintifiknya Bariatric Surgery supaya berat badannya kembali ideal serta dapat menjalankan kehidupan seperti orang normal.

“Tetapi kita perlu memastikan kesihatannya di tahap yang stabil dahulu kerana dia mengalami masalah jantung, diabetis, pendarahan dalaman, urat saraf serta beberapa penyakit yang lain,” katanya.

Selain menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat sebanyak RM350 setiap bulan, Norazlina turut menerima RM300 daripada Baitulmal Majlis Agama Islam Segamat.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan ikhlas boleh menghubungi sepupu Norazlina, Nur Amirah di talian 01120518028 atau sumbangan terus ke akaun Bank Islam 01078024376009 (Nur Amirah Asyura Abdul Latip). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN