UMNO Perak sedia jika PRK - Utusan Malaysia

UMNO Perak sedia jika PRK

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: UMNO Perak bersedia jika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman semalam.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, mengikut akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRK boleh diadakan di Parlimen Gerik kerana kematian penyandangnya berlaku dalam tempoh tiga tahun pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurutnya, jika akta itu dipatuhi, PRK di sini sepatutnya diadakan seperti di Batu Sapi, Sabah.

“Soal ada atau tidak PRK di sini, saya cuma merujuk kepada akta SPR yang diputuskan beberapa tahun lalu.

“Maknanya dalam tempoh tiga tahun pertama (berlaku kematian penyandang), maka dalam tempoh 60 hari selepas kematian, PRK perlu diadakan,” katanya ketika ditemui sebelum solat jenazah Hasbullah di Masjid Jamek Gerik, di sini hari ini.

Saarani percaya SPR akan mengadakan mesyuarat dan membuat keputusan sama ada PRK Parlimen Gerik diadakan atau sebaliknya.

“Ada PRK atau tidak di sini, ia bergantung kepada SPR,” katanya.

Menurutnya, UMNO Perak bersedia jika PRK Parlimen Gerik diadakan malah beliau telah memanggil Setiausaha UMNO Bahagian Gerik, Ahmad Shukri Ismail mengenai persediaan kemungkinan PRK diadakan.

Beliau berkata, selama ini UMNO Perak sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi PRU-15.

“Jika PRK diadakan, saya tiada pilihan. Namun saya rasa tiada masalah sebab ini budaya kerja sejak dahulu iaitu kesiapsiagaan UMNO Gerik bagi menghadapi PRU-15,” katanya.

Hasbullah, 63, meninggal dunia akibat serangan jantung di Raub, Pahang kira-kira pukul 7 petang semalam.

Dalam PRU-14, Hasbullah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang kerusi Parlimen Gerik dengan meraih 13,243 undi.

Beliau mengalahkan dua calon lain itu Mohd. Dahalan Ismail dari Pas (7,715 undi) dan Ibrahim Hanafiah dari Bersatu (6,353 undi). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN