DUNGUN: Pelanggan dan pemilik sebuah kedai mencuci kereta di Kampung Jerangau Sungai, berhampiran Bukit Besi di sini terkejut apabila menemukan seekor ular sawa sedang ‘berehat’ di bawah sebuah rumah bersebelahan premis itu.
Pemiliknya, Che Wan Muhammad Afifi Che Wan Alias berkata, kemunculan ular sawa batik seberat 80 kilogram dengan panjang enam meter itu disedari pelanggannya yang menunggu mendapatkan khidmat mencuci kereta.
Katanya, ketika kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, hanya terdapat beberapa pelanggan dan pekerja di premis tersebut.
“Salah seorang pelanggan ternampak ular sawa yang besar itu berada di celah-celah kayu di bawah rumah bapa saudara saya yang bersebelahan kedai.
“Semua panik sebab tidak pernah tengok ular sebesar itu dan pelanggan saya segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Che Wan Muhammad Afifi berkata, kawasan bawah rumah tempat reptilia itu ditemukan adalah lokasi rehat dia dan pekerja, sekali gus bersyukur kerana tidak bertembung dengan ular sawa berkenaan ketika mereka berehat sebelum itu.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dungun Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, lima anggotanya mengambil masa hampir satu jam sebelum menumpaskan ular sawa batik tersebut.
Katanya, tangkapan terbaharu itu adalah yang ketiga di daerah ini tahun ini.
“Ular yang dijumpai berada di timbunan kayu di bawah sebuah rumah itu kemudian dibawa pulang ke bilik gerakan APM Dungun dan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya. – UTUSAN ONLINE