Tutup sekolah: 10,000 tanggung kerugian - Utusan Malaysia

Tutup sekolah: 10,000 tanggung kerugian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih 10,000 pengusaha kantin di seluruh negara dikhuatiri gulung tikar dalam masa terdekat akibat kesan kerugian ditanggung mereka ekoran keputusan penutupan sekolah sehingga 17 Disember ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia, Hamzah Omar berkata, mereka sudah tidak mampu menanggung bebanan kos operasi pada setiap hari termasuk gaji pekerja dan kos elektrik.

Malah katanya, terdapat segelintir peniaga hanya memperoleh pendapatan sekitar 20 hingga 30 peratus daripada hasil jualan meskipun ketika waktu sekolah dibuka sebelum ini.

“Paling mengecewakan adalah pengumuman Kementerian Pendidikan pada saat-saat akhir tanpa berbincang lebih lanjut dengan kami. Bagaimana dengan barangan-barangan mentah yang sudah dibeli untuk jualan minggu ini? Takkan hendak dibiarkan begitu sahaja?.

“Bagaimana pula nasib para pekerja kantin yang selama ini bergantung kepada gaji harian. Jika kantin ditutup, mereka tidak dapat lagi gaji dan akhirnya menjejaskan periuk nasi khususnya bagi sudah berkeluarga,” kata­nya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, Menteri Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin me­ngumumkan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan seluruh negara ditutup sehingga 17 Disember ini (bagi negeri-negeri kumpulan A) dan 18 Disember (bagi negeri-negeri kumpulan B).

Keputusan itu mendapat reaksi bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang menyifatkan pengumuman saat akhir dilihat menyusahkan semua pihak termasuk 70,000 pekerja pekerja kantin yang selama ini menerima gaji harian.

Hamzah berharap kerajaan memberi pembelaan kepada para pengusaha dan pekerja kantin dengan bantuan sewajarnya yang terkesan teruk akibat penutupan sekolah.

Katanya, walaupun sekolah sebelum ini dibuka seperti biasa sekali gus membenarkan kantin dibuka, ia masih tidak mampu menampung kos operasi semakin meningkat.

“Jika mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pendidikan, para pelajar tidak dibenarkan makan di kantin dan mereka hanya boleh beli serta makan di kelas.

“Mengikut keadaan ini, ada pelajar tidak turun beli makanan. Kalau ada pun, hanya satu atau dua orang dan menyebabkan banyak jualan makanan serta minuman tidak terjual,” katanya.

Sementara itu, beliau melahirkan kekecewaan dengan Belanjawan 2021 yang tidak menyentuh langsung nasib dihadapi pengusaha dan pekerja kantin khususnya dalam situasi pandemik Covid-19.

“Usul-usul yang disampaikan kepada kerajaan dipandang sepi dan sampai bila nasib pengusaha kantin harus dipandang sepi. Apakah kerajaan sekarang benar-benar faham kesusahan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN