ALOR SETAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan percaya Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lalu dapat diluluskan setelah selesai urusan perbahasan yang bermula esok.
Beliau berpandangan tiada sebab ahli-ahli Parlimen menolak belanjawan tersebut yang bersifat luar biasa, selain selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.
“Dalam norma baharu yang kita lalui, Belanjawan 2021 sama sekali tidak boleh dibandingkan dengan belanjawan lain yang dibentangkan dalam tahun-tahun sebelum ini.
“Dalam keadaan sekarang, keutamaan Kerajaan Persekutuan tidak hanya untuk membantu rakyat untuk hidup malah memastikan mereka berkembang dari aspek kehidupan,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Yang hadir sama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim.
Diminta mengulas pelawaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap pembangkang untuk duduk bersama dalam Majlis Tindakan Ekonomi serta Mesyuarat Pengurusan Covid-19, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, perkara itu telah dipersetujui di peringkat Kabinet.
“Mungkin kita akan libatkan wakil dan pimpinan pembangkang dalam jawatan kuasa perundingan di peringkat nasional supaya mereka dapat merasakan betapa sukarnya urus bencana ini.
“Dengan cara itu, diharap kuranglah sikit tohmahan kepada kerajaan dan secara dasarnya semua parti yang membentuk kerajaan bersatu memberi sokongan 100 peratus terhadap perkara itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE