KUALA LUMPUR: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak seharusnya ditangguhkan kerana penilaian hanya boleh dibuat menerusi subjek-subjek kritikal bagi menempatkan pelajar tingkatan lima di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Presiden Kesatuan Kakitangan UiTM, Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata, ini kerana penangguhan tersebut hanya membuang masa belajar secara dalam talian kerana tidak menjamin keberkesanannya ketika menduduki peperiksaan besar tersebut.
“Belajar perlu ada sistem secara dua hala, iaitu secara bersemuka bukan secara dalam talian. Malah bukan semua pelajar juga yang boleh belajar secara dalam talian kerana tiada akses Internet.
Bagi menempatkan diri mereka dalam IPTA, penilaian boleh dibuat berdasarkan subjek-subjek kritikal contohnya Sains, Matematik Tambahan, Fizik dan Biologi untuk kemasukan program medik, matrikulasi serta lain-lain.
“Untuk subjek seperti Geografi dan Sejarah, mungkin kita boleh permudahkan untuk menggabungkan kertas peperiksaan tersebut seperti yang pernah dibuat dulu pada pelajaran Alam dan Manusia.
“Jika ditangguhkan sekalipun, apakah ia memberi jaminan untuk mereka memahami setiap silibus yang diajar secara dalam talian?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Ahmad Faisal, seharusnya ia tidak menjadi masalah sekiranya SPM diawalkan kerana secara kebiasaan kertas peperiksaan dicetak pada Ogos ke September pada tahun tersebut.
Sehubungan itu, katanya, silibus tingkatan empat dan topik awal bagi tingkatan lima boleh dimasukkan dalam kertas peperiksaan berkenaan.
“Bayangkan periksa bulan tiga, keputusan nak keluar bulan berapa dan bagaimana pula dengan kemasukan IPTA tahun depan yang kebiasaannya akan masuk bulan September. Sebelum ini keputusan SPM standard keluar bulan Mac, apakah kali ini ia akan keluar pada Mei atau Jun? Takwin keputusan SPM juga belum dibuat.
“Bagaimana pula dengan pelajar tingkatan lima tahun 2021, apakah peperiksaan mereka juga ditangguhkan atau dibuat mengikut masa yang asal? Ini kerana sesi persekolahan sudah lewat tiga bulan susulan pengumuman kerajaan yang sesi persekolahan dibuka pada bulan Mac,” ujarnya lagi.
Berikutan itu, katanya, adalah wajar untuk kerajaan menilai kembali kewajaran menangguhkan SPM sehingga Mac tahun depan supaya tidak membuang masa sekali gus boleh menempatkan diri dalam IPTA pada tempoh yang sepatutnya. – UTUSAN ONLINE










