PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi jaminan bahawa pihaknya sedia menangani isu kesalinghubungan internet di seluruh negara secara serius.
Menerusi kenyataan hari ini, SKMM telah mengambil pendekatan responsif sejak beberapa bulan lalu dalam merapatkan jurang digital terutama di kawasan luar bandar.
Malah menerusi beberapa kisah tular mengenai masalah internet, SKMM segera mengambil tindakan susulan.
“Antaranya menaik taraf rangkaian di pusat Internet komuniti berhampiran kepada sambungan gentian optik selaju 300 megabit sesaat (Mbps),” jelasnya.
Jelas kenyataan tersebut, perkara itu sudah dibuat di Kampung Sapatalang, Sabah dengan liputan dinaik taraf daripada 3G kepada 4G sekali gus memberi manfaat komuniti termasuk kepada seorang pelajar universiti, Veveonah Mosibin yang pernah tular.
Bahkan, 13 menara bakal dibina di Pitas dan Kampung Mengkapon setelah mendapat kelulusan kerajaan negeri itu di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).
“Sementara di Kiulu, Tuaran juga di Sabah, SKMM memperluaskan liputan 4G di enam lokasi iaitu Pukak, Lokub, Mantob, Kitapol, Kampung Sinorut dan Kampung Gonipis,” tambahnya.
Ia berserta gentian optik ke setiap menara dan usaha itu kata SKMM, berjaya direalisasikan hasil kerjasama diberikan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau sendiri.
Mengenai isu di Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau, Daerah Kuala Muda, Kedah, sebuah menara pemancar sementara sudah dibina bagi beri liputan lebih baik di kawasan tersebut.
Ini dicapai susulan kerjasama antara pihak SKMM, penyedia perkhidmatan, penduduk serta Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia kerajaan negeri itu, Wan Romani Wan Salim.
SKMM juga menganjurkan Sesi Makmal Infrastruktur Digital Negara dari 13 Julai hingga 14 Ogos lalu, untuk mempertingkatkan lagi tahap kualiti internet di seluruh Malaysia.
Manakala sebanyak 83.2 peratus pemancar sedia ada yang disasarkan sepanjang tahun ini sudah dinaik taraf untuk meningkatkan perluasan kualiti perkhidmatan 4G daripada 3G.
“SKMM bersedia menerima segala cadangan membina yang boleh dimanfaatkan pengguna selaras matlamat Rancangan Malaysia ke-12 dan Belanjawan 2021,” kata kenyataan itu. – UTUSAN