PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membina tiga menara telekomunikasi berdekatan Kampung Gusi, Ranau Sabah bagi menangani isu akses Internet di situ.
Ini susulan kejadian tiga pelajar terjatuh dari jambatan gantung ketika cuba mendapatkan capaian Internet di perkampungan dalam daerah Ranau itu pada 23 November lepas.
SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan, projek tersebut di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan dokumen tender sudah pun dikeluarkan pada 20 November lalu.
“SKMM mengambil maklum kejadian itu dan sebagai penyelesaian sementara, perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi VSAT disediakan selewat-lewatnya 15 Disember ini,” katanya.
Inisiatif itu adalah tanggungjawab sosial korporat pihak Common Tower Technologies Sdn. Bhd., anak syarikat Warisan Harta Sabah Sdn. Bhd. yang disokong kerajaan negeri.
SKMM menasihatkan semua pelajar yang berdepan masalah sama agar tidak membahayakan diri dalam usaha mencari akses liputan Internet.
“Kami bersimpati atas situasi berlaku di Kampung Gusi dan sempat bertemu Ketua Kampung, Galam Abdullah untuk bertanyakan khabar keadaan pelajar yang terlibat,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam pada Isnin lalu, kumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaaan Ulu Sugut itu mengikuti kelas dalam talian sebelum jambatan gantung runtuh.
Penduduk mendakwa, kawasan di jambatan setinggi 18 meter dari aras sungai itu mempunyai capaian Internet lebih baik sebelah malam kerana liputan di sekitar kampung agak teruk.
Dua daripada pelajar terbabit patah bahagian paha dan betis manakala seorang lagi mangsa cedera tulang belakang sebelum mereka dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu. – UTUSAN