KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah akan membantu membangunkan industri yang berpotensi di setiap kampung bagi meningkatkan taraf ekonomi rakyat.
Ini dengan cara mengenal pasti sumber-sumber yang boleh dibangunkan sebagai industri terutama kraf tangan tradisi yang mempunyai nilai untuk dikomersialkan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, dengan cara itu taraf ekonomi rakyat terutama di luar bandar dapat ditingkatkan.
“Ini bukan sesuatu yang mustahil kerana Sabah sememangnya kaya dengan industri tradisi yang boleh dikomersialkan.
“Kerajaan sedia membantu mengembangkan industri ini terutama yang dilihat mempunyai potensi untuk dimajukan dan ada nilai komersial,” katanya.
Dr. Jaochim yang juga Menteri Pembangunan Industri Sabah berkata demikian ketika berucap merasmikan Persatuan Kinabalu Jade Eco Tourism dan Kraftangan Jed Kinabalu di Kampung Nalumad di Ranau dekat sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang bagaimanapun mengingatkan setiap pengusaha yang terlibat dalam apa juga industri di negeri ini supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Katanya, walaupun kerajaan memberi galakan, namun rakyat perlu mengikuti saluran yang betul ketika memajukan sesuatu industri. Dengan mendaftarkan persatuan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan memaklumkan kepada Pegawai Daerah sebagai makluman kepada aktiviti mereka.
“Semua hasil yang ada di Sabah adalah dikawal oleh kerajaan negeri, oleh itu Pejabat Daerah perlu memantau aktiviti-aktiviti yang berkaitan,” tegasnya. – UTUSAN










