Risiko pelajar keciciran - Utusan Malaysia

Risiko pelajar keciciran

Salmah Ismail, 65 (berdiri) memerhatikan cucu-cucunya yang belajar di Sekolah Kebangsaan Kurong Hitam, (dari kanan) Nur Suhaiza Sukri, 11, Muhammad Irsyad Mat Asri, 9; Nurul Maslyani Ridzuan, 9; dan Muhammad Ammar Muhsif, 7 berkongsi telefon pintar semasa sesi pembelajaran dalam talian di Kampung Padang Balai, Kuala Nerang, Kedah, semalam. – FOTO/Shahir Noordin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penutupan sesi persekolahan yang terlalu lama berisiko meningkatkan ka­dar keciciran dan buta huruf terutama dalam kalangan pelajar dari keluarga miskin di luar bandar yang ketiadaan peranti dan talian internet.

Pakar sosiologi dan pendidikan, Anuar Ahmad berkata, Kementerian Pendidikan dilihat tidak begitu bersedia de­ngan keputusan menutup sesi persekolahan dan beralih kepada pembelajaran secara dalam talian.

Katanya, kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang menunjukkan hanya sembilan peratus murid di seluruh negara memiliki komputer riba atau tablet di rumah perlu ditangani terlebih dahulu sebelum langkah menutup sekolah diambil.

“Kajian sama yang menunjukkan hanya 49.3 peratus keluarga B40 yang mempunyai talian internet di rumah manakala pemilikan telefon pintar hanya pada kadar 46 peratus juga perlu diberi perhatian khusus terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahte­raan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menegaskan, keciciran adalah kanser pendidikan dan mesti dicegah daripada awal dengan meningkatkan akses pendidikan dalam kalangan kumpulan miskin.

“Kementerian Pendidikan perlu menambah baik program pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui rangkaian RTM selain mewujudkan segera saluran khas TV Pendidikan yang lebih segar dan menarik tanpa menumpang saluran lain.

“Dapatkan juga guru-guru cemerlang untuk mengajar dalam TV Pendidikan dengan penyediaan modul pembelajaran yang menarik,’’ katanya.

Dalam masa yang sama, katanya, usaha supaya golongan miskin mendapat peranti perlu ditingkatkan segera supaya tiada golongan yang tercicir, selain mewujudkan sistem pemantauan pembelajaran di rumah melalui program outreach antara guru dan ibu bapa.

“Semua syarikat telekomunikasi juga mesti mengambil tanggungjawab sosial membantu anak-anak miskin meneruskan pendidikan dan tidak hanya memikirkan untuk membuat keuntungan semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, kelas prasekolah harus dibuka tetapi dengan jumlah pengambilan murid yang kecil.

Katanya, ini bagi memastikan murid tidak buta huruf ketika memasuki sesi persekolahan tahun depan.

“Prasekolah adalah peringkat pembelajaran yang penting kerana di situ mereka belajar kenal huruf, membaca dan bergaul. Jika mereka tidak kenal huruf pada peringkat itu, sukar dibayangkan bagaimana nanti guru akan mengendalikan kelas dengan 40 murid tahun satu pada tahun depan yang masih ‘buta huruf’,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, keadaan mungkin tidak sama dengan ibu bapa di bandar atau yang menghantar anak ke sekolah antarabangsa. Bagi ibu bapa di luar bandar, mereka sangat mengharapkan tadika seperti Tadika Kemas, Pasti atau Abim untuk mengajar anak mereka tetapi kini semua tadika itu ditutup.

“Dalam keadaan ramai yang akan tercicir kerana sekolah ditutup, berapa ramai pula akan buta huruf? Sebab itu kerajaan perlu lakukan sesuatu dengan segera. Mungkin pemberian dana khas bagi meningkatkan kualiti pembelajaran bagi mengelak ramai yang tercicir dan buta huruf,” katanya.

Dalam pada itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) masih belum dapat membuat penilaian jurang kadar buta huruf dalam kalangan murid sekolah tahun satu dan tadika enam tahun setakat ini.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, penilaian untuk menentukan jurang buta huruf kelompok murid tersebut hanya boleh dilakukan apabila kesemua murid belajar secara bersemuka apabila sesi persekolahan dibuka semula.

“Sekiranya pihak sekolah mendapati murid tahun satu dan tadika enam tahun menghadapi masalah buta huruf, maka kelompok tersebut akan dibantu apabila naik ke tahun dua dan tahun satu nanti.

“Kita akan buat saringan bagi memastikan murid boleh membaca, mengira dengan 12 pecahan dalam Literasi dan Numerasi (Linus),” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN