PUTRAJAYA: Malaysia mencatat jumlah kes positif Covid-19 harian tertinggi selepas tiga hari merekodkan empat angka iaitu 1,755 kes dengan dua kematian, semalam.
Selain itu, tiga lagi pertambahan kluster baharu direkodkan dengan 78 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) yang mana 28 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 38,189 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 11,530.
Beliau berkata, Sabah mencatatkan sebanyak 1,199 kes daripada keseluruhan kes positif semalam.
“Daripada jumlah kes di Sabah, sebanyak 741 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster penjara dan pusat tahanan sementara (PTS) iaitu Kluster PTS Tawau dan Kluster Penjara Sandakan.
“Selain itu, Kluster Seberang Perai (162 kes), Kluster Tembok (10 kes), Kluster Penjara Kepayan (lapan kes), Kluster Penjara Reman (tiga kes) dan Kluster Benteng LD (dua kes).
“Pulau Pinang pula merekodkan sebanyak 192 kes, Selangor (164 kes), Labuan (59 kes), Negeri Sembilan (45 kes), Kedah (19 kes), Perak (18 kes), Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing (17 kes), Putrajaya (sembilan kes), Terengganu (lapan kes), Johor (tiga kes) dan Melaka (dua kes),” katanya dalam kenyataan semalam.
Mengulas mengenai tiga kluster baharu, Noor Hisham berkata, Kluster Mampulut di Keningau, Sabah membabitkan 28 kes manakala Kluster Fores di Petaling, Gombak dan Klang merekodkan 20 kes serta Kluster Rengas di Kuala Kangsar, Perak sembilan kes.
“Terdapat tiga kluster yang diisytiharkan tamat iaitu Kluster Bah Lada di Perak, seramai 56 orang disaring yang mana empat kes positif dan Kluster Atap di Sabah hanya empat kes daripada 48 orang yang disaring.
“Bagi kluster ketiga pula iaitu Kluster Bah Sahabat di Terengganu, seramai 53 orang disaring hanya 11 kes positif,” katanya.