JOHOR BAHRU: Kira-kira 3,000 pengusaha tadika di Johor kini sudah tidak mampu bertahan untuk meneruskan perniagaan kerana bebanan kos operasi susulan penutupan tadika ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin lalu.
Pengerusi Persatuan Tadika Johor, Fadilah Omar berkata, prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang menetapkan semua tadika perlu ditutup telah menyebabkan ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka ke tadika dan mereka tidak lagi membayar yuran.
Katanya, pendapatan tadika selama ini bergantung penuh kepada yuran yang dikenakan terhadap kanak-kanak.
“Sejak pengumuman PKPB, terdapat ibu bapa mahu bayaran balik yuran telah dibayar manakala bagi yang belum bayar, mereka terus tidak bayar. Jadi, ini mendatangkan masalah dan kesan besar kepada hasil pendapatan kami.
“Kami faham masalah dihadapi ibu bapa, walaupun dalam perjanjian menetapkan yuran dibayar tidak boleh dipulangkan. Jadi terpaksa juga bagi refund kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut Fadilah lagi, lebih membingungkan bagi para pengusaha kini adalah untuk membayar kos operasi seperti gaji guru dan kakitangan, sewa premis dan utiliti sehingga mereka perlu mengambil langkah drastik daripada terus menghentikan perniagaan untuk sementara.
Katanya, antara langkah itu adalah menawarkan cuti tanpa gaji atau menamatkan perkhidmatan guru dan kakitangan kerana sudah tidak lagi mampu menanggung perbelanjaan pada setiap bulan.
“Bagi satu tadika, pemilik perlu membelanjakan antara RM5,000 hingga RM15,000 pada setiap bulan. Itu bagi satu cawangan, jika setiap pengusaha ada banyak cawangan tadika, maka lebih banyak dia perlu bayar.
“Saya paling kasihan kepada guru-guru, sudahlah gaji mereka tidak banyak iaitu paling tinggi pun RM1,200. Kalau cuti tanpa gaji atau diberhentikan kerja, bagaimana hendak teruskan kehidupan masing-masing? Guru juga perlu tanggung keluarga, bayaran pinjaman dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, Fadilah memaklumkan lebih 200 tadika di negeri ini sudah ditutup sejak pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) kerana sudah tidak mampu menanggung kerugian akibat kesan arahan penutupan operasi tadika. – UTUSAN










