SEREMBAN: Seluruh kawasan di daerah ini dan Port Dickson yang sedang mengalami masalah gangguan air dijangka menerima semula bekalan selewat-lewatnya Rabu ini.
Bagaimanapun, bekalan secara berperingkat itu bergantung kepada kerja-kerja pembaikan di tapak yang dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains), Norzita Ismail berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Linggi semalam mula menerima aliran air sungai yang memasuki muka sauk untuk loji menjalankan proses pengepaman air mentah.
“Kami akan membekalkan air terawat ke premis pengguna di Daerah Seremban terlebih dahulu sehingga loji dapat bekalan air mentahmencukupi untuk menjalankan operasi pengepaman secara keseluruhan ke daerah Port Dickson.
“Hampir lima hari LRA Linggi tidak dapat beroperasi membekalkan air terawat kepada pengguna di Port Dickson dan Seremban berikutan tebing runtuh di Sungai Linggi. Kerja-kerja menambak tebing oleh JPS memakan masa hampir empat hari untuk diselesaikan,” katanya semalam.
Menurut Norzita, pelbagai usaha dilakukan Sains bagi memastikan kawasan gangguan dapat dikecilkan dengan memanjangkan bekalan air dari sumber air yang berdekatan seperti Bukit Kunyit, Seremban Barat dan Spring Hill untuk daerah Port Dickson dan mengambil bekalan air dari LRA Sungai Terip untuk daerah Seremban selain dari membeli air dari Selangor untuk kawasan Tanah Merah Site A (Port Dickson).
“Kerjasama yang berterusan daripada pihak operator air lain seperti Pengurusan Air Selangor (AiS), Ranhill Syarikat Air Johor (RanhillSAJ), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Pengurusan Air Pahang (PAIP), Lembaga Air Perak (LAP) dan Syarikat Air Terengganu (SATU) dengan menghantar lori tangki serta kakitangan mereka amat membantu Sains dalam kerja-kerja pengagihan bekalan air di kawasan terjejas sehingga keadaan pulih,” katanya. – UTUSAN ONLINE