IPOH: Bayi dan warga emas antara penduduk di Taman Klebang Jaya yang menjalani ujian saringan Covid-19 di Dewan Komuniti Taman Klebang Jaya di sini hari ini.
Tinjauan mendapati penduduk mula hadir seawal pukul 9 pagi bagi menjalani ujian saringan berkenaan dengan dikawal oleh petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Kira-kira 200 penduduk dikatakan akan menjalani ujian saringan itu hari ini dengan dipakaikan gelang dan perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah selama empat hari.
Untuk rekod, terdapat kira-kira 5,000 penduduk termasuk pekerja kilang warga asing yang tinggal di Taman Klebang Jaya dan kesemua mereka akan menjalani ujian saringan berkenaan secara berperingkat yang bermula semalam.
Difahamkan, ujian saringan itu diadakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 setelah terdapat kes positif melibatkan pekerja kilang warga asing yang tinggal di kawasan perumahan berkenaan.
Seorang penduduk, Patimah Zahari, 72, berkata, dia datang seawal pukul 9 pagi ke dewan komuniti itu untuk menjalani ujian saringan tersebut.
Katanya, walaupun berasa bimbang untuk berbaris bersama penduduk lain namun dia lega apabila petugas rela menitikberatkan penjarakan sosial antara mereka.
“Sejak kes Covid-19 di Perak meningkat, saya risau dan sebolehnya elak daripada bertemu dengan orang.
“Di tempat kerja pun, jika tiada keperluan bertemu dengan pelanggan saya lebih selesa berada dalam (stesen minyak),” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, A. Rajandra, 54, berkata, dia dan isteri datang untuk menjalani ujian saringan tersebut setelah dimaklumkan oleh petugas kesihatan semalam.
Katanya, ujian tersebut mengambil masa yang singkat dan dia dibenarkan pulang ke rumah setelah dipakaikan gelang yang bertulis tarikh sampel diambil dan tempoh kuarantin.
“Ujian itu tidak sakit cuma rasa pedih sedikit di hidung. Saya diberitahu perlu duduk di rumah selama empat hari,” katanya.
Difahamkan, selain Taman Klebang Jaya, pusat saringan Covid-19 juga dibuka di Taman Pinji Mewah dan sebuah kilang di Taman Perindustrian Zarib di sini. – UTUSAN ONLINE