BUTTERWORTH: Pelajar tingkatan dua dan lima antara empat remaja yang ditahan polis ketika sedang berlumba haram di sebatang jalan di Lahar Kepar di Penaga, Kepala Batas dekat sini semalam.
Selain mereka, dua lagi yang ditahan dalam operasi pukul 5 petang itu ialah dua remaja masing-masing berusia 18 tahun dan 20 tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketika operasi, dua lelaki berusia 18 dan 20 tahun itu dipercayai sedang berlumba manakala dua pelajar sekolah berkenaan mengekori dengan sebuah motosikal.
Tambahnya, mereka dilihat berlumba sesama sendiri dari Lahar Ikan Mati menghala ke Penaga sambil melakukan aksi berbahaya kepada pengguna jalan raya lain.
“Sebelum tangkapan dibuat, pasukan operasi membuat pemantauan dan pemerhatian ke atas semua remaja terbabit.
“Keempat-empat mereka kemudian ditahan sebaik sahaja berhenti di sebuah jambatan tepi jalan Lahar Kepar menghala Kepala Batas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Noorzainy berkata, seramai 50 individu yang disyaki melakukan kegiatan lumba haram telah ditahan pihaknya dalam operasi sepanjang minggu lalu di daerah itu. – UTUSAN ONLINE