JOHOR BAHRU: Penutupan pintu sempadan Malaysia dan Singapura bukan sahaja memisahkan hubungan pasangan suami isteri malah menyebabkan seorang bapa tidak dapat menyaksikan detik kelahiran anaknya, baru-baru ini.
Perkara itu dikongsi seorang wanita, Nurulain Shaari dalam Facebooknya selepas dia bersalin anak lelaki Rabu lalu tanpa suaminya, Faris Haris Kechik di sisi.
Katanya, dia terpisah dengan Faris Haris lebih lapan bulan sejak suaminya kerja dan tinggal di Singapura Mac lalu.
“Semasa sakit bersalin, suami masih bekerja seperti biasa dan saya sudah pesan kepadanya, jangan risau dengan keadaan saya. Doktor dan nurse (jururawat) ada. Sakit pun diam-diam sahaja, tahu-tahu saya dah selamat bersalin.
“Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah,” katanya.
Menurut wanita itu lagi, sejurus selepas bersalin, dia dan suami tidak mampu menahan air mata ketika membuat panggilan video ekoran situasi menimpa mereka iaitu terpisah selama lapan bulan.
“Saya tahu ramai isteri yang suami mereka bekerja di Singapura juga melalui benda yang sama dengan saya iaitu mengandung, melahirkan dan menjaga anak bersendirian.
“Semoga kita semua kuat dan tabah hadapi ujian ini. Semoga Allah sentiasa pelihara dan permudahkan urusan pasangan kita di Singapura sana, Insya Allah,” katanya. – UTUSAN ONLINE