KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) kecewa pekerja penerbangan yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19 tidak diberi kelonggaran untuk mengeluarkan simpanan Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 1.
Setiausaha Agung persatuan itu, Mohd Akram Osman berkata, pembentangan belanjawan sepatutnya memperkukuh industri penerbangan dan pekerja yang hilang pendapatan daripadanya.
“Bajet kerajaan harus beri kelonggaran dalam pengeluaran KWSP atau pembayaran secara terus bagi golongan pekerja penerbangan yang jelas kesempitan wang kerana ini adalah masa yang luar biasa.
“Jika adanya dana KWSP digunakan sebagai salah satu bajet untuk membantu rakyat, maka pekerja yang telah mencarum selama ini harus menerima bantuan terus dalam bentuk pengeluaran simpanan KWSP mereka jika kerajaan susah sangat hendak beri mereka bantuan segera,” katanya dalam kenyataan media.
Jun lalu, seramai lebih 300 pekerja AirAsia Bhd. dihentikan perkhidmatan mereka oleh syarikat penerbangan tambang murah itu manakala lebih 2,000 pekerja syarikat penerbangan Malindo Air diberhentikan bulan lalu bagi tujuan pengecilan operasi.
Mohd. Akram menambah, para pekerja syarikat penerbangan kecewa apabila mereka diketepikan dalam pembentangan belanjawan semalam.
“Ramai pekerja ini mengharapkan bantuan segera atau terus kepada mereka melalui bajet yang diumumkan tapi ramai pekerja ini merasa sungguh hampa dengan pengumuman bajet semalam.
“Bajet baru ini pula akan disalurkan kepada pihak ketiga untuk latihan semula dan sebagainya. Jika benar kerajaan mahu membantu mereka yang terkesan, beri kepada mereka terus. NUFAM nampak ramai pekerja akan kecundang dari bajet yang diumumkan oleh kerajaan semalam,” katanya. – UTUSAN ONLINE