KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) bersetuju untuk menyalurkan bantuan serta mengecualikan bayaran bagi beberapa perkara untuk meringankan beban pelajar tempatan dan antarabangsa yang terkesan akibat penularan Covid-19.
Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia Prof. Dr. Daud Ahmad Israf Ali berkata, ia bagi merialisasikan hasrat ini pihak universiti telah memperkenalkan Pakej UPM Prihatin dengan memperkenalkan beberapa insentif.
“Setiap pelajar baharu Universiti Putra Malaysia sesi 2020/2021, pakej Meal Plan yang sebelum ini diwajibkan akan dipulangkan semula kepada pelajar dengan melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.4 juta.
“Pakej UPM Prihatin juga turut memberikan pengecualiaan bayaran penginapan kepada semua pelajar yang menginap di dalam kampus sepanjang semester 1 sesi 2020/2021 bermula Oktober 2020 sehingga Februari 2021. Kos keseluruhan yang terlibat adalah sebanyak RM6.65 juta.
“Pelajar Universiti Putra Malaysia turut mendapatkan pengurangan yuran kolegiat dan perkhidmatan sebanyak 15 peratus dengan jumlah pulangan melibatkan kos sebanyak RM1.31 juta.
“Selain daripada itu bantuan kewangan turut disediakan bagi pelajar yang kurang berkemampuan melalui pakej UPM Prihatin. Kumpulan pelajar asnaf dan B40 akan memperolehi manfaat dengan dana yang disediakan oleh pihak Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) dengan peruntukan disediakan sebanyak RM1.5 juta
“Bantuan Pelan data sebanyak 40 GB dan Peranti turut disediakan bagi golongan asnaf dan B40 yang sebelum ini terpaksa meminjam, berkongsi ataupun ke pusat internet bagi mengikuti kelas pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan secara dalam talian
“Pakej UPM Prihatin turut menyediakan bantuan tele-kaunseling secara percuma kepada mana-mana pelajar yang memerlukan bimbingan daripada Bahagian Kaunseling UPM.
“Selain daripada itu Pembatalan Skim Book Plan turut dilakukan dengan melibatkan pelajar prasiswazah tempatan baharu dengan kos yang terlibat sebanyak RM300 ribu.
Justeru, katanya, pihak universiti berharap Pakej UPM Prihatin ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar yang terkesan pada ketika ini serta dapat melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. – UTUSAN