KUANTAN: Kerajaan negeri mengalu-alukan peruntukan RM45 juta dalam Belanjawan 2021 bagi menaik taraf sistem pembekalan air melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Semambu dan Rumah Pam Air Kobat yang turut membekalkan air terawat ke kawasan perindustrian Gebeng, di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan peruntukan itu, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dapat mengganti baharu 11 pam sedia ada di Rumah Pam Kobat berkenaan seterusnya mampu meningkatkan kapasiti LRA Semambu sebanyak 20 peratus daripada 290 juta liter sehari kepada 350 juta liter sehari.
“Ini perlu bagi mengatasi masalah ketidakupayaan pembekalan air terawat mencukupi kepada permintaan semakin meningkat daripada para pelabur dan industri kawasan perindustrian Gebeng.
“Paip menjangkakan tempoh 10 bulan untuk menyempurnakan kerja-kerja menaik taraf ini kelak termasuk bagi proses-proses reka bentuk dan perolehan selama empat bulan serta proses pembinaan lagi enam bulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri turut terima kasih atas peruntukan dua lagi projek melibatkan secara langsung negeri ini daripada kesemua tujuh projek seluruh negara bernilai RM3.8 billion.
Kedua-dua projek itu, katanya, adalah projek Central Spine Road (CSR) melibatkan jajaran baharu dan projek jalan pintasan Cameron Highlands.
“Semoga dengan pelaksanaan kedua-dua projek ini akan meningkatkan lagi aspek kemudahsampaian serta memendekkan tempoh perjalanan antara destinasi-destinasi berkenaan, selain dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan-kawasan terbabit, insya-Allah,” katanya. – UTUSAN ONLINE
habis///