Pahang pertimbang wajibkan anak berusia tujuh hingga 11 tahun ikuti kelas Kafa - Utusan Malaysia

Pahang pertimbang wajibkan anak berusia tujuh hingga 11 tahun ikuti kelas Kafa

SYED IBRAHIM SYED AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri sedia mempertimbang cadangan mewajibkan setiap anak pasangan Islam berusia tujuh tahun hingga 11 tahun mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, cadangan berkenaan boleh dipertimbang untuk dilaksanakan kerana pengajian terbabit memberi banyak manfaat dan kebaikan kepada kanak-kanak.

“Kita lihat cadangan ini cukup baik dan kerajaan negeri pertimbangkan kerana Kafa memberi kesan positif kepada anak-anak.

“Kita akui kelas pengajian Kafa mendapat sambutan hangat sama ada di kampung, taman dan bandar yang dilaksana serta diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dengan bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Andasura Rabu (Pas-Beserah) yang mencadangkan supaya kelas pengajian Kafa diwajibkan kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun hingga 11 tahun bermula 2023 bagi memastikan pembentukan peribadi anak-anak dapat diterapkan di peringkat awal.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, sejumlah RM33.2 juta disalurkan Jakim untuk bayaran elaun guru dan bantuan termasuk bantuan khas kewangan kepada kerajaan negeri.

Jelasnya, berdasarkan statistik, kerajaan negeri menerima peruntukan daripada Jakim RM29.3 juta (2015), RM56.1 juta (2016) RM33.4 juta (2017), RM35.3 juta (2018) dan RM30.8 juta (2019).

Beliau berkata, terdapat sebanyak 3,620 Kafa di negeri ini yang membabitkan 74,116 murid berusia tujuh tahun hingga 11 tahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN