Menggerakkan pembangunan luar bandar Sabah - Utusan Malaysia

Menggerakkan pembangunan luar bandar Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM5.1 bilion dalam Belanjawan 2021 untuk Sabah bagi membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan dilihat dapat meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, melalui dana berkenaan, pembangunan asas lebih dipertingkat dan dipercepatkan.

Dr. Joachim Gunsalam

Katanya, jaminan kerajaan Persekutuan untuk menyambung semula pembinaan Lebuhraya Pan Borneo menjadi pemangkin pembangunan ekonomi di negeri itu secara mapan.

“Sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian, saya juga menyambut baik penyambungan projek pembesaran pelabuhan kontena Sapangar Bay kerana ini lebih meyakinkan pelabur-pelabur asing untuk melabur di Sabah.

“Ini adalah berita baik bagi merangsang industri dan perdagangan di negeri ini. Kita bersyukur kepada kerajaan Pusat atas pembentangan belanjawan yang inklusif dan menyentuh tentang kebajikan seluruh rakyat Malaysia, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sabah dan Sarawak menerima peruntukan perbelanjaan pembangunan masing-masing sebanyak RM5.1 bilion ringgit dan 4.5 bilion ringgit.

Dalam pada itu, Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah menambah, peruntukan untuk program Native Customary Rights akan dapat menyelesaikan masalah berkaitan dengan tanah adat termasuk pemberian geran tanah melalui program Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas).

Selain itu, katanya, peruntukan penaiktarafan rangkaian asas telekomunikasi sudah pasti dinanti-nantikan oleh rakyat di kawasan pedalaman yang masih tidak mendapat kemudahan itu.

“Di Sabah masih terdapat banyak sekolah daif yang bangunan dan infrastrukturnya perlu dinaik taraf bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selesa.

“Oleh itu peruntukan tambahan sebanyak RM725 juta bagi menaik taraf bangunan serta infrastruktur sekolah daif amat dialu-alukan dan diharap ia dapat dilaksanakan pada kadar segera,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN