RAFIE
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menyambut baik sekiranya kerajaan Persekutuan memutus menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lebih awal di negeri ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika ini kes di Kedah dilihat terkawal dengan kebanyakan kluster seperti Sivangangga, Sungai dan Telaga berakhir.
“Yang tinggal cuma kluster Tembok, itu pun semalam kita cuma ada 10 kes baharu termasuk kluster Tembok.
“Penularan kes daripada kluster Permatang, Bayan dan Intan pun nampak terkawal dengan cuma ada dua kes semalam. Saya setuju sekiranya PKPB di Kedah ini ditamatkan lebih awal,” katanya pada sidang akhbar selepas berakhir Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan berkata, perintah PKPB di Kedah, Terengganu dan Johor mungkin ditamatkan tidak lama lagi sekiranya keadaan Covid-19 bertambah baik dalam dua minggu ini.
Muhammad Sanusi berkata, beliau yakin negeri ini akan kembali hijau tidak lama lagi.
“Kes di Kedah dalam tempoh tiga hari kebelakangan ini sentiasa di bawah 10 termasuk kluster Tembok. Kes di luar penjara pula kelihatan tidak terlalu serius.
“Insya-Allah Kedah dapat kembali menjadi zon hijau dan saya yakin perkara ini diberi pertimbangan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menamatkan PKPB di Kedah lebih awal,” katanya. – UTUSAN ONLINE











