Masuk bank tidak daftar nama, dua individu dikompaun RM1,000 - Utusan Malaysia

Masuk bank tidak daftar nama, dua individu dikompaun RM1,000

ANGGOTA polis melakukan pemantauan pematuhan SOP di sebuah bank di bandar lama Lipis di Lipis, Pahang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Dua pembantu jualan dikompaun masing-masing RM1,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penularan pandemik Covid-19 ketika masuk ke premis sebuah bank di bandar lama Lipis, di sini hari ini.

Ketua Polis daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, dalam pemantauan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, kedua-dua individu lelaki dan wanita berusia 21 dan 22 tahun dikompaun di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB 2020).

“Individu berkenaan yang beralamat di Kampung Kechor Tui dan Rumah Kos Rendah Batu 4 di sini tidak mendaftar semasa masuk ke premis dan tidak menyukat suhu badan serta tidak menggunakan pencuci nyah kuman.

“Polis mengarahkan supaya mengikut SOP untuk masuk ke dalam premis dan kompaun telah dikeluarkan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azli, polis terus melakukan pemantauan bagi memastikan pematuhan SOP dalam mengekang penularan wabak Covid-19. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN