KUALA LANGAT: Berselindung di sebalik pusat peranginan yang terletak jauh dari kawasan bandar di daerah ini untuk dijadikan markas operasi perjudian dalam talian (online).
Malah, sindiket yang menyewa beberapa unit di salah sebuah blok pusat peranginan itu juga menjalankan aktiviti pertaruhan pelaburan saham dan kegiatan jual beli secara online disyaki scammer.
Bagaimanapun, taktik sindiket yang dipercayai aktif sejak dua bulan lalu tumpas dengan tertangkapnya 88 ahli sindiket dengan 73 daripadanya warga China berusia 23 hingga 46 tahun.
Markas baharu sindiket itu diserbu semalam kira-kira pukul 3.20 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.
Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, sindiket memilih pusat peranginan itu kerana kedudukan jauh dari bandar bagi mengelakkan dihidu pihak berkuasa.
“Siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak dua bulan lalu dan turut melakukan kegiatan scammer iaitu menjalankan aktiviti pertaruhan pelaburan saham dan kegiatan jual beli secara online.
“Sindiket ini juga menyasarkan pelanggan atau mangsa dari negara China dan menjadi Malaysia sebagai pusat bagi menjalankan aktiviti tersebut.
“Mereka menggunakan laman sesawang tertentu untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian ‘calling centre’ dengan menggunakan suatu pertaruhan yang dikenali sebagai Loteri 360,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua transaksi kewangan adalah melalui perbankan online bank di China dengan menggunakan matawang China (ReMinBi) untuk proses menerima dan membayar hasil perjudian dalam talian.
“Ketika serbuan, kita mendapati lokasi markas judi ini mempunyai ciri-ciri keselamatan termasuk pengawal keselamatan dan terdapat kamera litar tertutp (CCTV) bagi sebarang pergerakan ke blok penginapan sindiket.
“Daripada serbuan tersebut, kita telah merampas peralatan digunakan sindiket antaranya 1,207 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 112 set komputer, 29 unit komputer riba, lima unit modem dan wang tunai berjumlah RM2,200.
“Pemeriksaan mendapati ada antara warga China yang ditahan tidak mempunyai pasport dan dokumennya telah tamat tempoh,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) & (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959. -UTUSAN ONLINE