KUANTAN: Pelaksanaan Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sehingga 30 Jun tahun depan bagi memulihkan semula sektor ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19 perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh empat sektor utama yang terlibat.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, dalam keadaan negara dan seluruh dunia sedang berdepan penularan pandemik Covid-19, pastinya sukar untuk empat sektor utama iaitu pembinaan, perkilangan, perladangan dan pertanian untuk mendapatkan tenaga kerja asing.
“Kami sendiri menawarkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja kepada PATI yang menyertai Program Kebajikan dan Khidmat Imigran (PKKI) yang dikelolakan Peka.
“Menerusi program berkenaan, setiap PATI yang berminat perlu memenuhi syarat-syarat ditetapkan dan segala urusan berhubung permit kerja dibantu Peka.
“Selepas memperoleh permit kerja, PATI boleh bekerja dengan aman tanpa rasa bimbang kerana susah memiliki permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, apabila Pelan Rekalibrasi PATI tamat selepas 30 Jun tahun depan, Jabatan Imigresen akan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran.
Sekiranya disabitkan bersalah, majikan yang didapati menggajikan PATI dikenakan hukuman maksimum iaitu denda sebanyak RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil.
Zuhairi berkata, kepada majikan dan PATI terutama membabitkan sektor utama iaitu pembinaan, perkilangan, perladangan dan pertanian, ambil peluang sertai pelan rekalibrasi berkenaan. – UTUSAN ONLINE