ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) akan memfailkan permohonan penghakiman ingkar terhadap pemilik restoran nasi kandar yang mencetuskan Kluster Sivagangga ekoran kegagalan defendan hadir ke mahkamah tinggi di sini hari ini.
Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, Nezad Mohamed Shahbur Batcha yang sudah keluar dari Penjara Pokok Sena setelah menjalani hukuman kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 pada 24 November lepas sudah melantik peguamnya.
“Hari ini merupakan hari terakhir pengurusan kes bagi saman penduduk ke atas Nezar dan pihak kami dimaklumkan peguam bahawa defendan gagal hadir memfailkan pembelaan untuk kes saman ini.
“Jadi untuk proses seterusnya kita serahkan kepada peguam iaitu memfailkan permohonan ingkar ke atasnya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini hari ini.
Hadir sama peguam yang mewakili kes tersebut, Mohammad Zunun Baihakky dari Tetuan Zunun & Co..
Nezar, 57, pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh dikenakan denda RM12,000 dan lima bulan penjara kerana melanggar perintah kuarantin di rumah pada 13 Ogos lalu.
Pada 19 Ogos, Persatuan Pengguna Kedah mengemukakan tuntutan saman lebih RM1 juta terhadap Nezar mewakili pemilik perniagaan, pekerja dan penerima upah dari mukim Napoh dan Megat Dewa akibat terjejas dengan perintah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim berkenaan akibat pelanggaran Nezar terhadap perintah kuarantin selepas pulang dari India.
Dalam pada itu, menurut Mohammad Zunun, Mahkamah Tinggi menetapkan 21 Disember depan untuk Nezar hadir ke mahkamah bagi membela dirinya terhadap saman itu.
“Sehingga 21 Disember ini jika defendan masih gagal hadir dan jawab saman kita akan failkan penghakiman ingkar sekali gus melayakkan penduduk memenangi kes ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE