Kiosk makanan Act of Kindness, Gerobok Rezeki bantu 531 penuntut UMT - Utusan Malaysia

Kiosk makanan Act of Kindness, Gerobok Rezeki bantu 531 penuntut UMT

KIOSK makanan ‘bayar mengikut kemampuan’ yang beroperasi di kafeteria salah sebuah kolej kediaman di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu bagi membantu meringankan beban penuntut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Prihatin terhadap kebajikan 531 penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berada di kampus mendorong sekumpulan sukarelawan Act of Kindness (AOK) dan Gerobok Rezeki Mutiara (GR) mewujudkan kiosk makanan di salah sebuah kolej kediaman universiti itu.

Penyelaras Projek AOK-GR, Dr. Izan Jaafar berkata, inisiatif yang digerakkan sejak 23 Oktober lalu di kafeteria Kolej Abdul Rahman Limbong itu mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan sasar terutama semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, antara menu yang disediakan ialah roti bakar, kuih-muih, nasi goreng dan bihun goreng dengan kaedah pembayaran mengikut kemampuan penuntut.

“Kiosk ini dibuka bagi membantu menyediakan makanan ringan kepada penuntut di kolej kediaman melalui empat pendekatan iaitu percuma bagi yang tidak mampu di samping bayaran seadanya, tetap atau lebih jika berniat untuk menyumbang.

“Projek ini dicetuskan atas permintaan penuntut menerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Izan, kiosk dikenali sebagai AOK-GR Corner yang dikendalikan 10 sukarelawan dalam kalangan pelajar itu beroperasi dari pukul 5 petang hingga 12 tengah malam.

Katanya, projek itu dalam masa sama dapat mendidik dan mengajak golongan sasar untuk bersama-sama menjaga kelestarian alam apabila mereka diminta membawa bekas makanan sendiri.
Menurutnya, program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Kosiswa, Hal Ehwal Pelajar (Hepa), Kelab Wanita UMT (Mutiara), Pusat Islam Sultan Mahmud di samping warga dan alumni universiti tersebut.

“Selain itu, sumbangan daripada projek Food Bank Siswa di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan orang awam turut diagihkan bersama operasi AOK-GR Corner,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya