Kedah syor polis, tentera lakukan rondaan bersama di sempadan -

Kedah syor polis, tentera lakukan rondaan bersama di sempadan

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mencadangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan rondaan secara bersama di sempadan yang tidak berpagar di negeri ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, rondaan secara bersama itu dapat saling melengkapi terutamanya dari segi perundangan antara satu sama lain.

“Di Kedah terdapat kawasan daratan tidak berpagar sepanjang 15 kilometer melibatkan sempadan Malaysia dan Thailand dan saya difahamkan tentera cuma boleh mengawal serta tiada kuasa untuk menembak selagi individu yang menyeberangi sempadan itu tidak diisytiharkan sebagai musuh.

“Kuasa menahan pesalah ini ada pada pihak polis, jadi jika ada rondaan bersama, lebih mudah untuk ambil tindakan terhadap golongan penceroboh dan penyeludup,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, usaha untuk memperketatkan kawalan di kawasan  sempadan tidak berpagar itu pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) bagi memastikan penularan Covid-19 tidak merentasi sempadan sebelum ini.

“Kerajaan negeri sentiasa peka dengan keadaan keselamatan sempadan. Dalam masa sama, kita sentiasa yakin dengan keupayaan pihak polis dan tentera bagi mengawal kawasan sempadan terutamanya yang tidak berpagar itu,’ katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga anggota batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), mendiang Koperal Baharuddin Ramli yang terkorban ketika terserempak dengan kumpulan penyeludup di Padang Besar, Perlis semalam.

“Kita juga mendoakan supaya seorang lagi anggota PDRM, Koperal Norihan Tari dapat cepat sembuh dan kembali berkhidmat. Pengorbanan mereka sememangnya patut dihargai,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya