Kaji semula bantuan pekebun kecil sawit - Utusan Malaysia

Kaji semula bantuan pekebun kecil sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengkaji semula kepentingan bantuan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS).

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia berkata, kerajaan perlu mengambil tahu kebajikan pekebun kecil sawit yang memohon untuk mewujudkan semula Skim Bantuan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS).

“Kerajaan juga perlu mengambil kira kebajikan pekebun kecil sawit di mana majoriti mereka memohon supaya Skim Bantuan TSPKS dikembalikan daripada pinjaman kepada bantuan.

“Pekebun kecil amat berharap kerajaan meluluskan permohonan mengembalikan Skim Bantuan TSPKS, lebih-lebih lagi Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sendiri menekankan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Aliasak berkata, PKPKM bagaimanapun berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan pekebun kecil getah melalui pengumuman kenaikan dana Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan mewujudkan Insentif Pengeluaran Lateks.

Tambah beliau, banyak manfaat yang pekebun kecil akan terima sekiranya skim TSPKS dikembalikan sebagai bantuan.

“Jika dikembalikan, produktiviti pekebun kecil sawit pada masa hadapan lebih meningkat kerana pekebun kecil kembali menjalankan aktiviti tanam semula seterusnya memberikan pulangan lebih kepada pekebun kecil dan kerajaan.

“Tindakan meneruskan Skim Pinjaman Mudah TSPKS pula berpotensi menyebabkan sektor huluan melibatkan pekebun kecil tidak akan membuat aktiviti tanam semula,” katanya.

Menurut beliau lagi, majoriti pekebun kecil sawit memiliki keluasan tanah di bawah dua hektar dan tidak banyak memberikan keuntungan.

“Mereka mengharapkan sepenuhnya bantuan daripada kerajaan untuk aktiviti tanam semula.

“Jika diteruskan sebagai pinjaman, ia sama sekali tidak sejajar dengan sasaran kerajaan untuk mencapai 100 peratus pensijilan Sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dalam kalangan pekebun kecil, apatah lagi untuk mencapai kemampanan industri sawit negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN