JOHOR BAHRU: Masyarakat dinasihatkan tidak panik dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, orang ramai seharusnya mengurangkan aktiviti di luar rumah melainkan ada urusan bagi membantu negara memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
“Jika ada keperluan mendesak di luar rumah, patuhilah SOP. Langkah pencegahan ini adalah vaksin terbaik bagi melindungi kita dan keluarga daripada jangkitan Covid-19.
“Walaupun berlaku peningkatan kes dalam masa terdekat ini, masyarakat tidak perlu terlalu bimbang selagi kita mematuhi SOP ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPB bagi seluruh negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan bermula esok sehingga 6 Disember depan.
Dalam perkembangan lain, Vidyananthan berkata, sehingga semalam, seramai 1,803 penghuni Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) menjalani ujian saringan yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.
Katanya, mereka yang terlibat terdiri daripada pelatih, kakitangan, ahli keluarga dan pekerja sokongan pusat latihan itu.
Tambahnya, ILKKM dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 3 Disember lalu sehingga 16 Disember ini.
“Semalam, Johor merekodkan lima kes baharu yang dilaporkan iaitu tiga kes daripada kluster sedia ada dan dua kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covif-19.
“Ini menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 930 kes dengan 21 kematian.
“Daripada jumlah itu, 859 kes telah pulih, 50 kes masih yang aktif dan diasingkan serta diberi rawatan di hospital,” katanya.
Jumlah kluster aktif di negeri ini tidak berubah melibatkan Kluster Meldrum, Kluster Bayu, Kluster Kempas dan Kluster Rinting. – UTUSAN ONLINE