KUANTAN: Kerajaan diminta mewajibkan individu yang balik atau datang dari Sabah ke negeri-negeri lain menjalani kuarantin wajib 14 hari.
Tindakan tersebut bagi memastikan jangkitan Covid-19 tidak terus meningkat sebaliknya dibendung.
Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, individu dari zon merah dan kuning sepatutnya dipantau secara berterusan supaya mereka tidak ingkar prosedur operasi standard (SOP).
Menurut beliau, antara punca meningkatnya jangkitan ialah apabila mereka yang pada awalnya negatif bertukar menjadi positif.
“Jadi, individu yang balik ataupun datang dari Sabah terutama dari zon merah serta kuning, mereka ini perlu terus dilakukan ujian semasa kuarantin dan selepas 14 hari baharu dibebaskan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memutuskan pengembara dari Sabah hanya perlu menjalani ujian calitan pengesanan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas dari negeri itu ke negeri lain.
Pengumuman tersebut berkuat kuasa mulai semalam.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan (PPPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berpendapat keputusan kerajaan tersebut mengundang risiko peningkatan kes di negeri-negeri lain.
Menurut beliau, ini kerana jumlah jangkitan di Sabah masih tinggi dan paling dikhuatiri ada pesakit tidak bergejala yang boleh menyebarkan jangkitan lebih cepat dan meluas.
“Dengan membenarkan rakyat atau pengembara Sabah pergi ke negeri lain bakal mengundang risiko peningkatan kes lebih tinggi di negara ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut beliau, jangkitan disebarkan pesakit tanpa gejala lebih sukar dibendung kerana pasukan kesihatan tidak dapat mengesan jejak mereka.
Kata Zainal, kerajaan sewajarnya mengkaji secara mendalam kesan membenarkan rentas negeri terutama membabitkan individu dari Sabah.
“Perlu diingat, Kementerian Kesihatan pernah memaklumkan 10 daripada 100 individu yang disaring negatif Covid-19 tetapi sebenarnya mereka positif.
“Adakah tidak logik hanya dengan tiga hari membuat ujian saringan, mereka boleh disahkan negatif Covid-19,” kata beliau. – UTUSAN