JELI: Penduduk Kampung Air Papan, Batu Melintang, di sini akhirnya dapat menarik nafas lega selepas seekor gajah jantan liar yang mengganggu mereka sejak empat bulan lalu ditangkap.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menjalankan operasi menangkap gajah liar itu kira-kira pukul 11 pagi Jumaat lalu di kawasan belukar kebun getah di kampung berkenaan.
Pengarah Perhilitan negeri, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif Yunus berkata, pemeriksaan terhadap haiwan berkenaan mendapati ia tidak mengalami sebarang kecederaan malah keadaannya stabil.
Katanya, gajah itu dipercayai yang mengganggu kawasan kampung berkenaan sejak Julai lalu sehingga menyebabkan rumah penduduk mengalami kerosakan.
“Haiwan ini turut memusnahkan tanaman pertanian di situ. Penduduk kampung membuat aduan sebelum Perhilitan memantau dan dan menangkapnya Jumaat lalu.
“Dengan penangkapan gajah liar itu, kita menyelamatkan seramai 8,000 isi rumah terutama dari sembilan buah kampung di Daerah Batu yang sebelum ini hidup dalam kebimbangan akibat ancaman haiwan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ady Ermanty, sekiranya haiwan itu tidak ditangkap, penduduk terus mengalami kerugian yang boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.
“Perhilitan Kelantan komited memastikan keselamatan penduduk terutama yang membabitkan konflik hidupan liar.
“Kita juga juga berusaha mengekang kerugian yang dialami penduduk sekitar melalui kawalan dan langkah mitigasi konflik ini,” katanya.
Tambahnya, kerja-kerja pemindahan gajah liar itu dilakukan esok. – UTUSAN ONLINE