PETALING JAYA: Pendakwah bebas, Ebit Lew sebak ketika menziarah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di pos kawalan sempadan di Perlis malam tadi.
Ebit memaklumkan, semasa meninjau sempadan, beliau dapat menyelami pengorbanan pasukan keselamatan yang bukan sahaja terpaksa berjauhan daripada keluarga tetapi bertugas 24 jam menjaga sempadan.
”Sebak dengar kisah saat akhir pejuang negara ini. Menembak sehingga habis peluru dan akhirnya letak senapang di dada. Betapa amanah mereka ini dalam menjalankan tugas,” kata beliau menerusi Facebook beliau.
Ebit turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad.
“Terima kasih anggota anggota PGA yang mengiring dan membawa kami sepanjang di Perlis. Semoga Allah jaga dan pelihara mereka semua. Dijauhkan dari bahaya. Jagakan keluarga mereka. Beri ketabahan pada keluarga mereka. Hanya Allah yang dapat membalas jasa mereka,” katanya.
Semalam, akhbar melaporkan seorang anggota polis Senoi Praaq Batalion 3, PGA Bidor terbunuh selepas berbalas tembakan dengan penyeludup Thailand. – UTUSAN