GEORGETOWN: Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila anak lelaki mereka terperangkap dalam kereta yang terkunci di kawasan perumahan Taman Terubong Indah, Ayer Itam, di sini tengah hari tadi sebelum berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian.
Kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu berlaku ketika anak mereka yang berusia setahun empat bulan berada seorang diri dalam kereta jenis Proton Saga terbabit.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Mohamad Noor Zahidi Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 12.50 tengah hari dan tiba tidak lama kemudian.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi, budak itu didapati masih berada dalam kereta dalam keadaan enjin tertutup.
“Kami menggunakan kaedah memujuk oleh bapanya sendiri disebabkan dia (budak terbabit) dilihat lebih serasi dengan bapanya.
“Dia ketika itu berada dalam keadaan stabil dan usaha memujuknya berjaya dilakukan kurang 10 minit setelah budak terbabit membuka sendiri tingkap kereta berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE