JERANTUT: Penduduk yang menggunakan jalan dari Kampung Bantal ke Kampung Pagi untuk keluar ke bandar ini, bimbang dengan risiko keselamatan mereka berikutan keadaan laluan itu yang merekah, mendap dan tebingnya runtuh.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Bantal, Hamdan Ali berkata, keadaan itu berlaku sejak minggu lalu ekoran musim tengkujuh.
Dia tidak menolak kemungkinan jalan di situ boleh runtuh sekali gus menyebabkan penduduk di Kampung Bantal terputus hubungan jika hujan lebat berterusan dalam minggu ini.
“Apa yang saya paling takut dan bimbang jalan runtuh semasa ada kenderaan sedang menggunakannya kerana tanah di situ lembab dan air masih mengalir.
“Saya harap pihak berwajib dapat ambil tindakan segera dengan ‘keuzuran’ jalan ke Kampung Bantal ini. Langkah segera perlu dilakukan bagi memastikan jalan tidak runtuh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Hamdan berkata, sekiranya berlaku runtuhan jalan di situ, penduduk Kampung Batal terputus hubungan kerana ia adalah jalan utama mereka ke Kampung Pagi dan bandar Jerantut.
“Hendak guna cara lama (naik bot), bot pun sudah tiada selepas wujudnya jalan raya di sini. Lagipun penduduk di Kampung Bantal tidak lagi menggunakan bot ke bandar.
“Perjalananan dari Jerantut ke Kampung Bantal memakan masa selama tiga jam jika menaiki bot, itu pun jika tidak mengalami masalah bot dan perkara tidak diingini ketika dalam perjalanan,” katanya.
Mengenai kejadian banjir di Kampung Bantal, dia memberitahu, keadaan sudah pulih selepas beberapa kawasan rendah di situ dinaiki air ekoran hujan lebat pada Jumaat lalu. – UTUSAN ONLINE