Benteng pertahanan institusi perbankan - Utusan Malaysia

Benteng pertahanan institusi perbankan

Kerajaan disaran lanjutkan lagi moratorium. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Antara kesan wabak Covid-19, selain dari menyebabkan krisis kesihatan, adalah tekanan kepada ekonomi negara. Aktiviti perniagaan telah berkurangan dengan mendadak. Ada perniagaan-perniagaan terpaksa mengurangkan keupayaan operasi dan yang lebih serius, ada juga yang terpaksa ditutup.

Ramai dalam kalangan masyarakat, terutamanya yang bekerja makan gaji, telah dipotong gaji dan lebih menyedihkan hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

Bagi meringankan beban kewangan mereka yang terkesan ini, pihak industri perbankan, atas nasihat dan sokongan pihak kerajaan serta Bank Negara Malaysia (BNM), dengan segera memutuskan untuk melaksanakan moratorium atau penangguhan bayaran ansuran untuk pinjaman konvensional dan pembiayaan Islamik. Tindakan memberikan moratorium adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan dalam sejarah negara.

Bermula dengan pemberian moratorium secara automatik selama 6 bulan dari April 2020, ia kemudian telah diperhalusi melalui inisiatif bantuan bersasar, bermula Oktober 2020.

Pelanggan bank yang terkesan perlu memohon terus kepada bank-bank mereka untuk mendapatkan bantuan ini.
Setakat ini bank-bank telah meluluskan 98 peratus daripada permohonan yang telah di­terima. Pemohon yang berjaya, diberikan sama ada pengurangan bayaran ansuran ataupun pelanjutan moratorium. Daripada 98 peratus yang berjaya, 40 peratus diberikan pelanjutan moratorium.

Namun, satu perkara yang perlu difahami adalah, bagaimana bank-bank berupaya untuk memberi moratorium?
Bank-bank di Malaysia, sama ada bank konvensional atau Islamik, merupakan antara institusi perbankan yang terkukuh di rantau ini. Hal ini adalah disebabkan oleh kedudukan modal penampan (capital buffer) bank-bank tersebut selain daripada keupayaanya menjana keuntu­ngan pada setiap tahun.

Melalui pemantauan yang menyeluruh dan tuntas BNM, bank-bank di negara ini mempunyai modal penampan yang kukuh dan lebih tinggi daripada ditetapkan oleh piawaian antarabangsa. Ini adalah usaha pe­ngukuhan jangka panjang dan telahpun dibuat secara berterusan selama beberapa tahun sebelum ini.

Modal penampan seumpama benteng pertahanan yang dibina sebagai langkah siap siaga menghadapi badai yang akan menimpa.
Tujuannya adalah untuk memastikan jika berlaku apa-apa krisis, bank-bank di Malaysia akan terus berupaya menjalankan fungsi-fungsinya sepertimana biasa.

Bersandarkan modal pe­nampan yang kukuh inilah, moratorium dapat dilaksanakan. Tetapi, pemberian moratorium secara automatik dan berterusan, akan memberi kesan kepada modal penampan sedia ada dan akan membataskan keupayaan pihak bank untuk memberikan pinjaman atau pembia­yaan.

Memandangkan wabak Covi­d-19 masih lagi berterusan dan belum pasti bila kesudahannya, adalah penting untuk memastikan bank-bank akan dapat bertahan sepanjang tempoh tersebut.

Oleh itu, langkah memberikan moratorium secara bersasar adalah pendekatan menang-menang. Masyarakat yang terkesan dan betul-betul memerlukan dapat dibantu selain mengekalkan kekukuhan bank-bank di Malaysia. Melaluinya juga, bank-bank akan dapat meneruskan pembia­yaan kepada sektor-sektor perniagaan yang memerlukannya serta berupaya menjana pembangunan ekonomi.

Moratorium bukanlah satu penyelesaian jangka panjang. Ia sekadar memberi ruang bernafas kepada peminjam, khususnya bagi yang telah hilang sumber pendapatan dan dipotong gaji. Bagi mereka yang menghadapi isu kredit, selain berbincang dengan bank-bank, mereka juga boleh merujuk kepada Agensi Kaunseling dan Perkhidmatan Kewangan untuk mendapatkan penyelesaian yang sebaiknya dan menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN