Belanjawan 2021 lulus, Muhyiddin lepasi ujian - Utusan Malaysia

Belanjawan 2021 lulus, Muhyiddin lepasi ujian

MUHYIDDN Yassin menegaskan menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua Ahli Parlimen PKR yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus meninggalkan PKR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 diluluskan melalui suara majoriti ahli parlimen semalam, sekali gus mengesahkan kedudukan dan kepercayaan Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tiga pengubahsuaian Belanjawan 2021 yang dibentangkan 6 November lalu dipercayai menyebabkan pembangkang hilang modal untuk membantah kelulusan Belanjawan.

Tiga perubahan itu ialah pengumuman i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan maksimum RM10,000 bagi yang terkesan, permohonan lanjutan moratorium kepada B40 dan M40 serta pengurangan peruntukan buat Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Meskipun terdapat cubaan mengusulkan undian secara belah bahagian, hasrat itu gagal mendapat sokongan blok pembangkang sendiri.

Ini kerana Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan, hanya 13 ahli parlimen yang bangun menyokong usul tersebut sedangkan peraturan memerlukan sokongan 15 ahli dewan.

Antara yang bangun ialah Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) dan Khalid Abd. Samad (PH-Shah Alam).

Dari sudut lain, suara pembangkang tenggelam berikutan hanya 80 ahli parlimen dibenarkan hadir pada persidangan kali ini kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19.

Penambahbaikan kepada pemberian moratorium dan pengeluaran Akaun 1 KWSP diibaratkan faktor penentu kepada lulus atau tidak Belanjawan 2021 pada peringkat dasar.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan program i-Sinar akan dibuka dan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas.

Beliau berkata, tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan ataupun terkurang pendapatan, semua layak memohon membuat pengeluaran Akaun 1.

Dalam pada itu, kekeliruan berkenaan lanjutan moratorium bersasar kepada golongan B40 dan M40 juga terjawab semalam.

B40 dan peniaga kecil mendapat lanjutan secara automatik manakala golongan M40 pula hanya perlu membuat pengisytiharan sendiri tanpa perlu dokumen kepada pihak bank.

Ini menunjukkan keluh-kesah rakyat yang cuba disuarakan majoriti ahli parlimen diberikan perhatian Kementerian Kewangan meskipun tidak diikuti secara 100 peratus.

Hakikatnya, Belanjawan 2021 banyak mempengaruhi tindak-tanduk ahli Dewan Rakyat dalam merangka bajet terbaik untuk membantu rakyat mendepani pandemik Covid-19.

Lulusnya juga mencerminkan tolerasi antara kerajaan dan pembangkang meskipun masih ada seorang dua pemimpin yang masih memikirkan kepentingan politik semata-mata.

Secara tidak langsung, kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga dilihat lebih kukuh untuk mendepani cabaran 2021.

Sementara itu, Muhyiddin mengucap terima kasih kepada semua ahli parlimen terutamanya Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menyokong Belanjawan 2021.

Sokongan ini, menurut beliau, membuktikan kematangan dalam membuat keputusan penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan mendahului perkara-perkara lain.

“Belanjawan 2021 belanjawan terbesar dan sangat penting kepada negara dan sokongan ini membolehkan kerajaan melaksanakan perancangan perbelanjaan untuk tahun hadapan dengan teratur dan lancar.

“Ini juga membuktikan Kerajaan PN prihatin mendengar keluh-kesah rakyat dan amat responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat memulih serta menjana semula ekonomi yang terkesan akibat Covid19.

“Saya tersentuh dengan pendirian ahli-ahli parlimen yang menyokong sekali gus membuktikan mereka menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu ahli-ahli politik mengetepikan sementara politiking bagi membolehkan belanjawan diluluskan tanpa gangguan lebih-lebih lagi dalam keadaan ancaman Covid-19,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN