Bayi 22 hari antara mangsa banjir - Utusan Malaysia

Bayi 22 hari antara mangsa banjir

RAZMAN Zakaria mentahnik bayi lelaki berusia 22 hari di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di Bagan Serai, Perak, hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Bayi lelaki yang baru lahir 22 hari lalu merupakan antara yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di sini sejak pusat berkenaan dibuka sejak Ahad lalu.

Ibu bayi itu, Nor Azmaliza Jamaluddin, 29, berkata, dia melahirkan anak keempatnya itu, Usamah Mohd. Amin secara pembedahan di Hospital Taiping pada 4 November lalu.

Menurutnya, dia dan anak-anaknya pulang ke rumah ibu bapanya di Kampung Tengah di sini sejak bulan lalu untuk melahirkan anak serta berpantang kerana suaminya kerja di Sungai Buluh, Selangor.

“Memasuki hari ke-18 saya berpantang, rumah ibu bapa saya dinaiki air menyebabkan kami anak beranak terpaksa berpindah di PPS ini sejak Ahad lalu.

“Banjir yang melanda kawasan rumah ibu bapa saya agak teruk, air masuk hingga ke dalam rumah menyebabkan kami semua terpaksa berpindah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya, walaupun menghadapi sedikit kesulitan berada di PPS itu dalam keadaan berpantang, namun keadaan kesihatannya dipantau oleh petugas dari Jabatan Kesihatan yang datang membuat pemeriksaan termasuk bayinya.

“Pagi ini, pihak Jabatan Kesihatan datang buat pemeriksaan dan menasihatkan saya supaya anak dibawa ke Hospital Taiping kerana tidak mahu dia terdedah kepada risiko sebarang jangkitan ketika berada di PPS ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Razman Zakaria datang melawat 22 keluarga mangsa banjir di PPS berkenaan hari ini.

Dalam lawatannnya, Razman sempat mentahnik bayi berusia 22 hari itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya