fbpx

18 Januari 2021, 6:34 pm

  TERKINI

Azmin bercita-cita jadi PM – Dr. M

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercita-cita menjadi Perdana Menteri, dakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ia sebagai kenyataan balasnya berhubung pendedahan bahawa beliau adalah individu yang merancang penubuhan Perikatan Nasional (PN).

Dr. Mahathir berkata, amat jelas bahawa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu diletak oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘de facto’ Timbalan Perdana Menteri.

“Selain itu, saya pasti Mohamed Azmin telah membuat perancangan membentuk kerajaan PN dan langkah Sheraton agak lama kerana saya percaya tidak mudah untuk dia meyakinkan sembilan ahli parlimen PKR untuk ikut serta.

“Mohamed Azmin tahu bahawa jika sekadar Bersatu menarik diri dari Pakatan Harapan (PH), ia masih tidak cukup untuk menjatuhkan kerajaan PH. Tetapi apabila Azmin ikut serta maka secara langsung kerajaan PH hilang majoriti dan jatuh,” tulisnya menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

MOHAMED AZMIN ALI

Ahad lalu, Mohamed Azmin mendakwa, idea penubuhan PN datang daripada Dr. Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri dengan sokongan semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik.

Katanya lagi, 131 akaun bersumpah (SD) daripada ahli parlimen pelbagai parti telah dipersembahkan ke Istana Negara sebelum Dr. Mahathir meletakkan jawatan secara mengejut pada 23 Februari lalu.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut menafikan dakwaan bahawa beliau adalah individu yang merancang penubuhan PN.

Tegasnya, jika benar seperti yang didakwa bekas Timbalan Presiden PKR itu, maka sudah pasti beliau tidak akan menolak gabungan itu dan masih kekal sebagai Perdana Menteri.

“Saya telah berkali-kali terangkan bahawa ini tidak benar sama sekali kerana PN itu dianggotai oleh kleptokrat dan ditunjangi oleh UMNO secara en-bloc.

“Jika saya merancangnya mengapa perlu saya tolak apabila ia menjadi kenyataan dan jika saya terima sudah pasti saya kekal sebagai Perdana Menteri seperti yang diakui sendiri oleh Azmin.

“Keduanya, jika ada sesiapa yang beria-ia merancang menubuh kerajaan PN dan keluar PH sudah pasti ianya Azmin dan juga Muhyiddin yang mendapat hasil paling lumayan,” katanya. – UTUSAN ONLINE