Aminuddin hargai inisiatif di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Aminuddin hargai inisiatif di Negeri Sembilan

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan negeri menghargai dan mengalu-alukan komitmen kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2021 untuk bekerjasama memperkasa sektor pertanian serta penternakan termasuk menerusi projek berimpak tinggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia termasuk projek penternakan udang galah di negeri ini yang melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM100 juta.

“Lain-lain program seperti Perluasan Kebun Kominiti (RM30 juta), Pelaksanaan Projek Pertanian Komuniti (RM50 juta), geran padanan Program Ladang e-Satelit (RM10 juta) serta Program Modernisasi Rantaian Nilai Agromakanan (RM60.00 juta) juga dilihat dapat membantu meningkat dan memperkasakan sektor pertanian yang diunjurkan terus berkembang pada 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun hadapan.

“Kerajaan negeri berharap melalui pelaksanaan program-program tersebut, ia membantu sektor pertanian lebih berkembang khususnya ke arah menjadikan Negeri Sembilan sebagai Dapur Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 semalam berkata, beberapa inisiatif utama bagi sektor pertanian dan industri makanan akan dilaksanakan seperti pelaksanaan projek pertanian dan penternakan bernilai tinggi dengan peruntukan RM100 juta.

Ia melalui kerjasama kerajaan negeri seperti projek tanaman nanas di Johor dan penternakan udang galah di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Aminuddin berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan dengan beberapa inisiatif dalam Belanjawan 2021 yang dijangka dapat membantu meningkatkan semula sektor pelancongan.

Ia antaranya menyediakan peruntukan penyelenggaraan kemudahan pelancongan sebanyak RM50 juta termasuk Kampung Budaya di Negeri Sembilan.

“Selain daripada itu, penyediaan peluang pekerjaan sebagai jurupandu pelancong kepada 500 orang dalam kalangan komuniti setempat dan Orang Asli juga sedikit sebanyak dapat merancakkan segmen ekopelancongan.

“Pelanjutan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti yang telah dilaksanakan di beberapa buah bandar di Malaysia termasuk di Seremban juga satu langkah yang baik bagaimanapun, kerajaan negeri berharap agar program ini diperluaskan lagi ke kawasan luar bandar yang mempunyai sistem pengangkutan awam yang lemah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN