Adakah raja tiada prerogatif? - Utusan Malaysia

Adakah raja tiada prerogatif?

Yang di-Pertuan Agong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SCHOOL of thought berkiblatkan Westminster melihat prerogatif termasuklah kuasa budi bicara seorang raja hendaklah terbatas dan terhad. Jika termaktub sekali pun prerogatif atau budi bicara seorang raja dalam Perlembagaan bertulis, istilah-istilah itu perlu ditafsirkan dalam ruangan sempit. Raja hendaklah bertindak mengikut nasihat eksekutif kerana tanpa nasihat itu akan membenarkan suatu pemerintahan mutlak bersifat absolutism.

Konotasi mereka yang berkiblat kepada Westminster berpaksi pada premis sejarah perundangan di England pasca Bill of Rights 1689. Justeru, dipopularkanlah istilah Raja Berperlembagaan sehingga ditanggapi seolah-olahnya apabila wujud Perlembagaan, maka raja hanya boleh bertindak atas nasihat eksekutif sahaja.

Pemikiran di atas dibawa ke Tanah Melayu oleh British dan cuba diterapkan dalam sistem politik tradisional Melayu. Menurut Laporan Suruhanjaya Reid, walaupun dalam perjanjian-perjanjian dengan kerajaan-kerajaan Melayu termaktub peruntukan bahawa raja perlu mendapatkan nasihat penasihat British dan bertindak mengikut nasihatnya, secara amalannya itu tidak berlaku.

Secara umumnya dapat dilihat betapa ramai yang terlepas pandang untuk membahaskan maksud sebenar Raja Berperlembagaan dan apakah sistem Perlembagaan di Malaysia?

Fahaman betul tentang Raja Berperlembagaan mampu membantu seseorang itu untuk mengulas dengan lebih adil kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Perlu difahami bahawa Raja Berperlembagaan itu tidak bermakna hanya Yang di-Pertuan Agong atau raja perlu memerintah mengikut Perlembagaan.

ADIL

Hal ini kerana semua pihak yang diberikan kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman hendaklah mematuhi Perlembagaan termasuklah seorang perdana menteri, menteri, hakim, ahli Parlimen serta pegawai yang diberikan fungsi eksekutif.

Prinsip keluhuran Perlembagaan yang menjadi tonggak pemerintahan menjamin kedudukan dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Tiada sesiapa pun mengatasi undang-undang bahkan itulah prinsip yang dijunjung dalam sistem politik tradisional Melayu sebelum hari merdeka.

Begitu juga perlu ditegaskan, sebarang nasihat dan permintaan yang disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong hendaklah mematuhi prinsip keluhuran dan kedaulatan undang-undang.

Amat tidak benar konotasi sistem nasihat hanya wujud di Tanah Melayu setelah diperkenalkan oleh British, seolah-seolah sistem politik tradisional Melayu sebelum mereka hadir di sini berprinsip bersultan di mata dan beraja di mata, bebas melakukan tindakan sesuka hati.

Perlakuan kes-kes terpencil perlu dibezakan dengan prinsip kedaulatan yang tersimpul kemas dalam dokumen perundangan Tanah Melayu.

Dalam Perlembagaan bertulis seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang Johor, Hukum Kanun Pahang, Undang-Undang Kedah dan Undang-Undang 99 Perak, kedudukan seorang raja dijelaskan sebagai khalifah atau pemegang amanah kedaulatan mutlak milik Allah SWT.

Justeru, seorang raja Melayu mempunyai kewajipan untuk menegakkan pemerintahan yang adil berprinsip amar maaruf nahi mungkar melalui amalan syura. Lantaran itu institusi raja terus dimuliakan setelah Islam bersyariat Nabi Muhammad SAW dianuti oleh raja dan rakyat raja Melayu.

Prinsip sama dilestarikan selepas kedatangan British dan Hari Merdeka.

KHALIFAH

Berpaksi pada kedudukan sebagai khalifah, maka prerogatif raja-raja Melayu terpelihara di sisi Perlembagaan Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 181(1), 3, 11, 162, 77 dan Jadual 4. Yang di-Pertuan Agong merupakan raja yang mewakili Majlis Raja-Raja untuk memerintah Persekutuan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Selama mana undang-undang digubal, begitu juga nasihat mahupun permintaan disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong mematuhi prinsip kedaulatan Malaysia, maka tertegaklah kedaulatan undang-undang atau ‘Rule of Law’.

Prinsip kedaulatan Malaysia dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dihuraikan secara mendalam dalam buku berjudul Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan.

Dalam konteks di atas, maka Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu mempunyai prerogatif untuk mempertahankan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Seri Paduka bukan sahaja boleh menimbangkan suatu permintaan, bahkan menolak nasihat eksekutif jika nasihat itu bercanggah dengan prinsip kedaulatan negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini kerana prinsip undang-undang tempatan menetapkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan lebih tinggi daripada nasihat eksekutif mahupun proses perundangan di Parlimen dan pertimbangan hakim-hakim di mahkamah.

Apakah itu Perlembagaan? Setiap kerajaan atau negara pastinya mempunyai perlembagaan masing-masing sama ada bertulis atau tidak, terhimpun dalam sebuah buku atau berada dalam pelbagai sumber rujukan.

PERLEMBAGAAN

Perlembagaan dengan kerajaan atau negara tidak boleh dipisahkan kerana perlembagaan itu cerminan sebuah kerajaan atau negara. Sama ada perlembagaan sebuah negara itu ditulis secara ringkas atau panjang lebar, itu merupakan bentuk perlembagaan masing-masing.

Perlembagaan sesebuah negara boleh dirujuk melalui sumber bertulis mahupun amalan yang berlandaskan prinsip kedaulatan negara itu. Sebuah kerajaan atau negara tidak akan wujud tanpa perlembagaan kerana perlembagaan itu menjelaskan sistem politik, perundangan, kenegaraan, hal ehwal pentadbiran merangkumi fungsi organ-organ dalam pemerintahan serta perhubungan antara kumpulan memerintah dengan yang diperintah dan pihak luar.

Ringkasnya, perlembagaan itu ialah undang-undang sesebuah kerajaan atau negara berposisi sebagai rujukan tertinggi yang terkandung di dalamnya suatu sistem perlembagaan. Sistem perlembagaan menurut Ventar (2000), terdiri daripada falsafah, doktrin dan prinsip yang mendasari keseluruhan sistem sesebuah negara.

Justeru, kuasa Yang di-Pertuan Agong mahupun raja-raja Melayu tidaklah boleh dibataskan kerana istilah ‘Raja Berperlembagaan’ atau ‘Constitutional Monarch’ menurut fahaman Westminster.

Dalam sebuah negara yang ketuanya presiden, maka tidak salah dikatakan ‘Presiden Berperlembagaan’. Namun begitu, kuasa seorang raja atau presiden hendaklah dirujuk dalam konteks undang-undang perlembagaannya.

Dalam dunia pada hari ini, tiada negara yang mengisytiharkan negara itu tidak mempunyai perlembagaan. Dalam sejarah manusia, sebaik sahaja terdiri kerajaan maka terbangunlah perlembagaannya.

Namun begitu, setiap negara mempunyai bentuk dan ciri-ciri perlembagaan masing-masing yang dibina oleh prinsip kedaulatannya.

MONARKI

Misalnya, Arab Saudi sebuah monarki yang mempunyai perlembagaan bertulis. Rajanya mempunyai prerogatif yang luas, begitu juga Sultan Brunei. Negara-negara tidak beraja seperti China, Rusia dan Cuba meskipun mempunyai perlembagaan bertulis tetap memberikan kuasa yang luas kepada presidennya.

Justeru, untuk memahami kedudukan sebenar Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan Persekutuan, sama ada Seri Paduka mempunyai prerogatif untuk memutuskan sesuatu atau perlu bertindak atas nasihat, rujukan perlu dibuat pada setiap peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan, bukan dibatasi dengan istilah ‘Raja Berperlembagaan’.

Seksyen 28 di bawah Jadual Ke-11 Perkara 160(1) berhubung kaedah pentafsiran peruntukan perjalanan kuasa dan kewajipan tidak boleh diabaikan dalam pentafsiran prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.

Satu lagi cubaan untuk menafikan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu serta prinsip kedaulatan berteraskan patuh syariah atau syariah compliance ialah dakwaan wujudnya struktur teras bagi Perlembagaan Persekutuan (basic structure of the Federal Constitution) yang menjamin hak kebebasan asasi manusia.

Untuk memberikan takrifan yang tepat tentang struktur teras Perlembagaan, seseorang perlu terlebih dahulu memahami bahawa Perlembagaan Persekutuan diinstitusikan oleh raja-raja Melayu berpaksi pada kedudukan mereka sebagai khalifah Allah SWT.

Justeru, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kewajipan untuk memastikan pelaksanaan tiga cabang kuasa di bawahnya iaitu perundangan, eksekutif dan pentadbiran keadilan mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang.

BERCANGGAH

Perkara-perkara yang terkandung dalam struktur teras Perlembagaan Persekutuan adalah seperti termaktub dalam Perkara 38(4) dan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan.

Sebarang dakwaan elemen tertentu sebagai struktur teras Perlembagaan Persekutuan jika bercanggah dengan prinsip kedaulatan Malaysia di bawah Perkara 181(1) serta Perkara 38(4) dan Perkara 159(5) perlu diperbetulkan.

Satu lagi perkara yang perlu dijelaskan, Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan doktrin pemisahan kuasa seperti amalan di Amerika Syarikat. Hakikatnya, pada institusi raja terangkum tanggungjawab ke atas ketiga-tiga cabang kuasa perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Yang di-Pertuan Agong ialah ketua utama dalam sistem politik negara yang prerogatif dan bidang kuasa Seri Paduka terpancar dalam sumpah jawatannya.

Justeru, mana mungkin Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mencampuri hal ehwal pemerintahan negara?

DATUK Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah pakar Perlembagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN