30,000 syarikat PKS tutup operasi tidak tepat - Wan Junaidi - Utusan Malaysia

30,000 syarikat PKS tutup operasi tidak tepat – Wan Junaidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Laporan berhubung lebih 30,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menutup operasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 yang disiarkan sebuah portal berita pada 11 November lalu tidak tepat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, merujuk kepada jawapan bertulis Parlimen pada 5 November lalu, berdasarkan statistik dikeluarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), jumlah keseluruhan syarikat dan perniagaan yang menutup operasi bermula 18 Mac sehingga 9 Jun lepas ialah sebanyak 9,675 syarikat.

Katanya, sebanyak 22,794 syarikat pula menutup operasi bagi tempoh 10 Jun sehingga September tahun sama.

“Kenyataan ini menunjukkan bahawa dalam tempoh Mac hingga September, ia bukan hanya merujuk kepada syarikat PKS yang menutup operasi tetapi merangkumi keseluruhan syarikat yang berdaftar dengan SSM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Wan Junaidi, jumlah penamatan operasi syarikat dan perniagaan tertinggi dicatatkan pada Ogos iaitu sebanyak 17,800.

Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan data yang dikeluarkan SSM, bermula 1 April sehingga 19 Julai 2020, sebanyak 82,555 perniagaan baharu didaftarkan.

“Ini menunjukkan bahawa dalam situasi semasa Covid-19, tidak menghalang sesiapa sahaja untuk menceburi bidang perniagaan tetapi perlulah mengikut kehendak semasa iaitu dengan menggunakan platform e-dagang sebagai salah satu medium pemasaran produk atau perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN